KUALA LUMPUR: Seramai 13,827 mangsa banjir di tiga negeri terjejas dengan bencana itu kini ditempatkan di 73 pusat pemindahan sementara (PPS) pagi semalam.
Di Johor, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,480 orang setakat 8 pagi semalam, berbanding 3,328 malam kelmarin dan ditempatkan di 35 PPS di beberapa daerah di negeri berkenaan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Mersing kekal dengan jumlah mangsa paling ramai melibatkan 1,792 orang, diikuti Kluang (780), Kota Tinggi (417), Batu Pahat (209), Segamat (115) dan Tangkak (15).
Sementara itu, empat sungai di negeri berkenaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat, dengan bacaan 5.96 meter (m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (14.53m); Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.33m) dan Sungai Endau, Mersing (2.90m).
Sementara di Sabah pula, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 10,347 orang daripada 3,569 keluarga setakat 8 pagi semalam, dan ditempatkan di 34 PPS di enam daerah, berbanding 10,312 mangsa daripada 3,564 keluarga malam kelmarin.
Sekretariat JPBN dalam kenyataannya memaklumkan satu lagi PPS di Lahad Datu dibuka pada 9 malam, menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.
Menurut kenyataan JPBN Sabah, seramai 2,160 orang (795 keluarga) ditempatkan di sembilan PPS di Pitas, manakala 664 orang (187 keluarga) dipindahkan ke sembilan PPS di Paitan.
Pahang pula melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin pagi semalam kekal 353 orang daripada 106 keluarga dengan empat PPS masih beroperasi iaitu PPS Kampung Setajam menempatkan 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122), PPS Balai Raya Bukit Lepas (40) dan PPS Balai Raya Kampung Denai (26).
Sungai Keratong di Rompin masih melepasi paras bahaya 23m apabila mencatatkan bacaan 24.36m pagi semalam, berbanding 24.45m malam kelmarin.
Bagaimanapun, paras Sungai Keratong terus menunjukkan trend penurunan. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg