Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 150 bencana alam landa Indonesia sejak 1 Jan

Presiden Jokowi arah bantuan dihulur kepada mangsa terbaru - banjir yang landa penduduk di Kalimantan Selatan
Jan 21, 2021 | 5:30 AM
LAWATAN KE TAPAK NAHAS: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (dua dari kiri), melawat bandar Mamuju, Sulawesi Barat, kelmarin bagi menemui mangsa dan menawarkan bantuan pemerintah. - Foto REUTERS
LAWATAN KE TAPAK NAHAS: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (dua dari kiri), melawat bandar Mamuju, Sulawesi Barat, kelmarin bagi menemui mangsa dan menawarkan bantuan pemerintah. - Foto REUTERS -

JAKARTA: Indonesia mengalami 154 bencana alam berbeza sepanjang 19 hari pertama tahun ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB).

Negara yang berada dalam lingkungan Lingkaran Api Pasifik ini mengalami gempa bumi, letusan gunung berapi dan banjir, setiap awal tahun.

Jumlah tersebut termasuk dua gempa bumi, 105 kes banjir, 28 tanah longsor dan tiga gelombang besar, tidak termasuk letusan gunung berapi di tanah Jawa.

Daripada keseluruhan kes-kes ini, sejumlah 140 orang terkorban, hampir 800 lagi cedera, 13 kes kehilangan warga dan lebih 500,000 mengalami kesukaran menjalani kehidupan disebabkan bencana alam ini.

Kelmarin, wilayah Kalimantan Selatan mengisytiharkan keadaan darurat ekoran banjir yang memaksa ribuan penduduknya meninggalkan rumah mereka untuk berteduh di tempat yang lebih selamat.

Akhbar The Jakarta Post melaporkan, hujan lebat sejak 3 Januari lalu menyebabkan air sungai melimpah ke tebing.

Menurut pihak berkuasa, lima orang terkorban sementara lebih 27,000 rumah ditenggelami air.

Lebih 110,000 penduduk sudah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat, namun masih ramai penduduk yang terkandas di atas bumbung rumah mereka, menunggu untuk diselamatkan.

Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo, mengarahkan bantuan dihulurkan kepada penduduk yang terjejas.

Pegawai bantuan bencana menyatakan pihak berkuasa memperuntukkan bantuan bernilai lebih AS$70,000 ($92,770).

Pakar alam sekitar berkata, kegiatan pertanian ladang kelapa sawit dan perlombongan menyebabkan kerosakan tanah yang menjadi punca utama peningkatan masalah banjir.

Pihak berkuasa Indonesia merekodkan 90 orang terkorban setakat ini, dalam kejadian gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter di Sulawesi Barat.

Operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mereka yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan masih diteruskan.

Menurut Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan Badan Nasional Pengurusan Bencana, Dr Raditya Jati, berdasarkan data sementara yang dikumpul semalam, sebanyak 77 mayat ditemukan di Kabupaten Mamuju, manakala 11 lagi mayat ditemukan di Kabupaten Majene.

"Seramai 19,345 penduduk kini ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara, lebih 800 cedera dalam kejadian itu selain sebanyak 1,150 unit rumah dan bangunan termasuk sekolah dan sebuah hospital rosak dan runtuh," katanya kepada media.

Indonesia akan bina semula kediaman dan bangunan yang musnah akibat gempa bumi kuat yang melanda Sulawesi minggu lalu, ujar Presiden Jokowi kelmarin, ketika angka kematian akibat tragedi itu mencecah 90 orang dan ribuan lagi tinggal sehelai sepinggang.

Agensi berita Reuters melaporkan, gempa bumi sekuat 6.2 magnitud pada Jumaat lalu itu mengakibatkan kerosakan teruk pada ratusan buah rumah, pusat beli-belah, hotel dan bangunan kerajaan. Sejak itu, terdapat 39 gegaran susulan direkodkan.

"Tidak lama lagi kerajaan pusat akan membina semula (kemusnahan itu). Bagi yang mengalami kemusnahan pada kediaman mereka, bantuan akan diberikan," ujar Encik Jokowi ketika melawat bandar Mamuju kelmarin.

Pemerintah Indonesia akan memberikan sejumlah Rp50 juta ($4,700) bagi membina semula rumah yang rosak teruk, manakala kediaman yang mengalami kerosakan sederhana atau kecil, bantuan sebanyak Rp25 juta ($2,357) dan Rp10 juta ($942) akan diberikan.

"Kami berharap dengan bantuan kerajaan pusat, proses membaik pulih rumah yang runtuh, pemulihan ekonomi, proses perkhidmatan kerajaan dan birokrasi akan kembali seperti sediakala," ujarnya.

Indonesia diuji dengan rangkaian tragedi bulan ini, termasuk nahas pesawat pada 9 Januari lalu yang mengorbankan 62 orang; bencana banjir di Kalimantan Selatan yang meragut nyawa 15 orang; letusan gunung berapi dan tanah longsor yang mengorbankan 40 orang di Pulau Jawa. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg