Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Lebih 300 maut apabila gempa kuat landa Haiti

Aug 16, 2021 | 05:30 AM



PORT-AU-PRINCE (HAITI): Sekurang-kurangnya 304 orang terkorban dan beratus-ratus cedera atau hilang selepas gempa besar melanda barat daya Haiti semalam yang menyebabkan banyak bangunan termasuk gereja, hotel dan rumah-rumah runtuh dalam tragedi terbaru yang menimpa negara Caribbean yang miskin itu.



Gempa sekuat 7.2 pada skala Richter itu, yang diikuti oleh beberapa gempa susulan, melanda 8 kilometer (km) dari bandar Petit Trou de Nippes, kira-kira 150km di sebelah barat ibu kota Port-au-Prince, pada kedalaman 10km, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat.



Kesan gempa turut dirasakan sejauh Cuba dan Jamaica, dikatakan berpotensi mengakibatkan kerosakan lebih besar berbanding gempa sekuat 7.2 pada skala Richter kira-kira 11 tahun lalu yang mengorbankan puluhan ribu penduduknya.



Gempa semalam berlaku sekitar 8.30 pagi waktu tempatan. Di Port-au-Prince, kesannya sangat dirasakan tetapi tampaknya ia tidak menyebabkan kerosakan besar, menurut saksi, lapor agensi berita Reuters.



Namun, perkhidmatan Perlindungan Awam Haiti mengatakan bahawa jumlah kematian awal berjumlah 304 orang, dengan sekurang-kurangnya 1,800 cedera dan Perdana Menteri Ariel Henry telah mengisytiharkan keadaan darurat selama sebulan.



Bandar besar terdekat adalah Les Cayes, di mana banyak bangunan runtuh atau mengalami kerosakan besar, menurut pihak berkuasa, dan menambah bahawa mereka sedang mencari mangsa terperangkap yang masih hidup.



"Saya lihat banyak tubuh ditarik keluar daripada runtuhan, ada yang cedera dan ada yang mungkin sudah tidak bernyawa," kata penduduk Les Cayes, Jean Marie Simon, 38 tahun, yang berada di pasar ketika gempa melanda dan berlari pulang untuk memeriksa sama ada anggota keluarganya selamat.



"Saya dengar tangisan kesakitan di mana-mana sahaja saya lalui,"ujarnya.



Isteri dan anaknya yang berusia dua tahun yang sedang mandi di rumah sempat berlari keluar dan bergegas ke jalanan dalam keadaan telanjang, tepat sebelum bahagian depan rumah runtuh. Encik Simon memberikan baju untuk menutupi isterinya dan mereka berlindung di halaman gereja bersama penduduk tempatan. Rumah ibunya juga runtuh.



"Terdapat banyak gempa susulan dan setiap kali ada, orang ramai bertempiaran dan berteriak," katanya. "Kaki saya masih menggeletar."



Di Les Cayes, penduduk tempatan berkata terdapat limpahan air membanjiri bandar pesisir yang mempunyai 126,000 penduduk, menyebabkan panik di tengah-tengah ketakutan akan berlaku tsunami, tetapi kemudian air kelihatan surut.



Media-media di Haiti melaporkan beberapa orang di sepanjang pantai telah melarikan diri ke pergunungan.



Sistem Amaran Tsunami Amerika mengeluarkan amaran tsunami menyusuli gempa tersebut, tetapi telah membatalkannya tidak lama kemudian.



Presiden Amerika Joe Biden membenarkan respons segera negaranya terhadap gempa tersebut dan telah menamakan Cik Samantha Power, pentadbir Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika, sebagai penyelaras tindakan tersebut.



"Semua orang benar-benar ketakutan. Sudah lama tidak berlaku gempa bumi yang begitu besar," kata Daniel Ross, seorang penduduk di kota Guantanamo, di timur Cuba, sambil menambahkan bahawa kediamannya tidak rosak.



Sebelum bencana ini, wilayah Haiti dilaporkan menghadapi ancaman kelaparan sementara perkhidmatan kesihatannya tertekan dengan kes-kes Covid-19 yang meningkat. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >