SYDNEY: Polis di wilayah paling ramai penduduk di Australia mengumumkan pada 20 Mei bahawa mereka telah menahan dan mendakwa 554 suspek keganasan rumah tangga, dalam operasi empat hari, ketika negara itu mendapati beberapa kejadian serangan berprofil tinggi terhadap wanita.
Polis New South Wales berkata beberapa “pesalah keganasan rumah tangga paling buruk” di negeri itu telah ditangkap, termasuk seorang lelaki yang didakwa memijak seorang wanita, menyebabkan patah tulang rusuk, kecederaan muka dan lebam buah pinggang”.
Penangkapan itu dibuat ketika Australia bergelut dengan kematian ganas 28 wanita pada 2024 – purata satu kematian setiap empat hari, berbanding hanya 14 wanita meninggal dunia dalam tempoh yang sama pada 2023.
Beberapa kejadian serangan berprofil tinggi terhadap wanita – termasuk kes tikaman ke atas lima wanita di pusat beli-belah Bondi – telah mendorong pihak berkuasa fokus kepada keganasan berasaskan jantina dan rumah tangga.
Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, telah menyifatkannya sebagai “krisis nasional”, sambil mengumumkan langkah-langkah untuk membendung pornografi dan meningkatkan pembiayaan untuk wanita yang melarikan diri akibat penderaan.
Pembunuhan pasangan intim telah turun secara beransur-ansur dalam tempoh 30 tahun lalu, menurut data daripada kerajaan Australia.
Kadar keganasan rumah tangga di Australia masih kekal di bawah purata yang dicatat oleh Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan lebih rendah daripada Canada, Amerika Syarikat dan Britain, menurut data 2023.
Tetapi agensi perkhidmatan keganasan rumah tangga telah lama memberi amaran bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg