WASHINGTON/TEHERAN: Pergolakan berterusan di Iran telah mengorbankan lebih 500 nyawa, menurut kumpulan hak asasi, ketika Teheran memberi amaran akan menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat sekiranya Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, melaksanakan ancaman untuk campur tangan bagi menyokong penunjuk perasaan.
Krisis itu berlaku ketika kepimpinan ulama Republik Islam berdepan demonstrasi terbesar sejak 2022, dengan Encik Trump berulang kali memberi amaran bahawa Washington sedia bertindak sekiranya pasukan keselamatan Iran melepaskan tembakan terhadap orang awam.
Pemerintah Iran setakat ini tidak mengeluarkan angka korban rasmi, manakala agensi berita Reuters menyatakan ia tidak dapat mengesahkan jumlah kematian secara bebas.
Menurut kumpulan hak asasi berpangkalan di Amerika, Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA), seramai 490 penunjuk perasaan dan 48 anggota keselamatan telah disahkan terbunuh, dengan lebih 10,600 orang ditahan sejak protes bermula.
Encik Trump dijangka menerima taklimat rasmi pada 13 Januari mengenai pelbagai pilihan tindak balas terhadap Iran, termasuk serangan ketenteraan, penggunaan senjata siber rahsia, peluasan sekatan ekonomi, serta bantuan dalam talian kepada sumber antipemerintah, menurut laporan Wall Street Journal pada 12 Januari.
Dalam kenyataan kepada wartawan semasa berada di dalam pesawat Air Force One, Encik Trump berkata Amerika juga sedang mempertimbangkan rundingan dengan Teheran.
“Iran mahu berunding, ya. Kami mungkin akan bertemu dengan mereka,” katanya.
“Satu pertemuan sedang diatur tetapi kami mungkin perlu bertindak kerana apa yang sedang berlaku sebelum pertemuan itu.”
Encik Trump turut menegaskan bahawa pilihan ketenteraan sedang dipertimbangkan. “Pihak tentera sedang menelitinya, dan kami sedang melihat beberapa pilihan yang sangat tegas,” katanya.
Teheran segera membalas dengan amaran keras.
Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, memberi amaran kepada Washington supaya tidak melakukan “salah perhitungan”.
“Biar jelas: Jika Iran diserang, wilayah yang diduduki (Israel), serta semua pangkalan dan kapal Amerika Syarikat akan menjadi sasaran sah kami,” kata Encik Qalibaf, bekas komander kanan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
Nada yang sama turut disuarakan oleh Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, yang berkata negaranya bersedia untuk berperang dan pada masa sama terbuka kepada dialog. “Kami bersedia untuk perang, tetapi juga bersedia untuk dialog,” katanya dalam taklimat kepada diplomat asing di Teheran.
Namun, Encik Araqchi menegaskan bahawa keadaan keselamatan di Iran berada “di bawah kawalan penuh”, sambil mendakwa amaran Encik Trump telah mendorong “pengganas” menyasarkan penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan bagi mengundang campur tangan asing.
Demonstrasi yang bermula pada 28 Disember tercetus akibat kenaikan harga dan tekanan kos sara hidup sebelum berkembang menjadi gerakan menentang kepimpinan ulama yang memerintah sejak Revolusi Islam 1979.
Rakyat Iran, yang bergelut dengan inflasi dan pengangguran, semakin meluahkan kemarahan terhadap Kor Pengawal Revolusi Iran, yang kepentingan perniagaannya dalam sektor minyak, gas, pembinaan dan telekomunikasi dianggarkan bernilai berbilion dolar.
Televisyen pemerintah Iran menyiarkan liputan langsung perarakan pengebumian anggota keselamatan yang terbunuh di Shahrud, serta demonstrasi propemerintah di bandar seperti Kerman, Zahedan dan Birjand, yang digambarkan sebagai bantahan terhadap “peristiwa pengganas”.
Media pemerintah turut melaporkan seruan daripada pegawai kanan supaya rakyat menyertai perhimpunan besar-besaran pada 12 Januari bagi mengecam apa yang disifatkan sebagai “tindakan pengganas yang dipimpin Amerika dan Israel”.
Aliran maklumat dari Iran terus terjejas akibat sekatan Internet yang dilaksanakan sejak beberapa hari lalu. Encik Araqchi berkata perkhidmatan Internet akan dipulihkan secara berperingkat dengan penyelarasan pihak keselamatan.
Namun, rakaman yang dimuat naik di media sosial dan disahkan Reuters menunjukkan puluhan beg mayat di Pejabat Koroner Teheran, dengan pihak berkuasa mendakwa mangsa terkorban akibat tindakan “pengganas bersenjata”.
Rakaman lain memperlihatkan ahli keluarga berkumpul di luar Pusat Perubatan Forensik Kahrizak di selatan Teheran, menunggu untuk mengenal pasti mayat orang tersayang.
Pihak berkuasa mengumumkan tiga hari berkabung nasional bagi menghormati mereka yang digelar “syahid yang gugur dalam penentangan terhadap Amerika dan rejim Zionis”.
Ketegangan ini berlaku ketika Israel dan Iran masih pulih daripada perang 12 hari pada Jun 2025, yang menyaksikan Amerika turut menyerang kemudahan nuklear Iran. Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel dan sebuah pangkalan udara Amerika di Qatar.
Sumber keselamatan Israel berkata negara itu berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi, bimbang kemungkinan campur tangan ketenteraan Amerika Syarikat.
Penganalisis berkata walaupun pemerintah berjaya mengharungi protes sebelum ini, gelombang terbaru ini berlaku ketika kedudukan serantaunya semakin lemah susulan tekanan ke atas sekutu seperti Hezbollah di Lebanon.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menuduh Amerika dan Israel menjadi dalang ketidakstabilan.
“Mereka membawa masuk pengganas yang membakar masjid, menyerang bank dan harta awam,” katanya dalam temu bual televisyen, sambil menyeru keluarga supaya menghalang anak-anak daripada menyertai rusuhan.
Namun beliau turut berkata pemerintah sedia mendengar rungutan rakyat dan menyelesaikan masalah ekonomi.
Bekas diplomat Amerika Syarikat dan pakar Iran,Encik Alan Eyre, berpandangan protes itu mungkin tidak menjatuhkan pemerintah tetapi akan meninggalkan kesan mendalam. “Saya fikir pemerintah akhirnya akan menumpaskan protes ini, tetapi ia akan muncul daripada proses itu dalam keadaan jauh lebih lemah,” katanya kepada Reuters.
Sementara itu, Encik Trump terus meningkatkan tekanan antarabangsa, menulis di media sosial:
“Iran sedang melihat KEBEBASAN, mungkin seperti tidak pernah berlaku sebelum ini. Amerika Syarikat bersedia untuk membantu!!!”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg