Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai kanak-kanak di AS dijangkiti Covid-19

Dec 30, 2021 | 5:30 AM
JALANI VAKSINASI: Seorang kanak-kanak, Indiana Chang, lima tahun, menerima suntikan vaksin dengan ditemani bapanya Encik Philippe Chang di Lower East Side, New York City. - Foto AFP
JALANI VAKSINASI: Seorang kanak-kanak, Indiana Chang, lima tahun, menerima suntikan vaksin dengan ditemani bapanya Encik Philippe Chang di Lower East Side, New York City. - Foto AFP -

NEW YORK: Lonjakan kes jangkitan koronavirus yang melanda Amerika Syarikat (AS) sekarang sebahagian besarnya disebabkan oleh varian Omicron yang mudah menjangkit, hingga menimbulkan kebimbangan meningkatnya jumlah pesakit kanak-kanak di hospital serta keprihatinan ibu bapa di serata negara.

Beberapa negeri AS melaporkan peningkatan kira-kira 50 peratus bagi kemasukan pediatrik untuk Covid-19 bulan ini.

Kota New York kini mengalami peningkatan dramatik, dengan 68 kanak-kanak dimasukkan ke hospital minggu lalu, peningkatan empat kali ganda dari dua minggu sebelumnya.

Meskipun pakar melahirkan kebimbangan tentang peningkatan pesakit kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital - peningkatan lebih seganda berbanding golongan dewasa - doktor dan penyelidik berkata mereka tidak melihat bukti Omicron lebih mengancam kanak-kanak.

Malah, data awal menunjukkan, berbanding dengan varian Delta, Omicron lebih menyebabkan gejala ringan ke atas kanak-kanak, serupa dapatan awal untuk golongan dewasa.

"Saya fikir perkara penting yang boleh diberitahu ialah ia tidak seteruk yang dijangkakan dan risiko sakit teruk adalah di paras yang rendah," kata seorang penyelidik, Dr Ravid Rubin, di Hospital Kanak-Kanak Philadelphia.

Sebaliknya, kebanyakan peningkatan bagi kemasukan pediatrik berpunca daripada jumlah kanak-kanak yang dijangkiti kedua-dua varian Delta dan Omicron, yang menurut pakar, juga disebabkan oleh kadar vaksinasi yang rendah di kalangan kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas.

Kanak-kanak lebih muda tidak layak untuk vaksinasi.

Mereka yang berusia 16 tahun ke atas layak untuk suntikan penggalak, yang menawarkan perlindungan lebih baik ke atas jangkitan dan keperluan rawatan di hospital.

Pada masa sekarang, kanak-kanak secara umumnya dilihat kurang dilindungi dari koronavirus berbanding orang dewasa.

Dalam masa seminggu berakhir 23 Disember lalu, kira-kira 199,000 kes kanak-kanak dilaporkan di serata negara, peningkatan 50 peratus berbanding awal bulan ini, menurut Akademi Pediatrik AS.

Secara kasar, satu dalam 10 kanak-kanak telah diuji positif virus sejak bermulanya pandemik, menurut akademi itu.

Jumlah kes Covid-19 di AS semakin meningkat, dengan purata hampir 190,000 jangkitan baharu setiap hari sejak tujuh hari lalu, menurut angka dari Universiti Johns Hopkins.

Penasihat pandemik AS, Dr Anthony Fauci pada hari Ahad lalu mengakui wujud masalah ujian Covid-19 dan memberi jaminan untuk menyediakan lebih banyak ujian kepada rakyat Amerika bulan depan.

"Antara masalah ialah ia tidak akan tersedia sepenuhnya kepada semua orang sehingga Januari dan masih terdapat beberapa isu orang ramai berdepan masalah untuk diuji," kata Fauci kepada ABC News. - Agensi berita.

''Saya fikir perkara penting yang boleh diberitahu ialah ia tidak seteruk yang dijangkakan dan risiko sakit teruk adalah di paras yang rendah.'' - Penyelidik, Dr Ravid Rubin, di Hospital Kanak-Kanak Philadelphia, mengenai keadaan kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg