Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Lebih rumit untuk tumbangkan kerajaan perpaduan Anwar

May 09, 2023 | 05:30 AM



KEMERIAHAN sambutan Hari Raya Aidilfitri masih dirasakan namun isu politik tetap menjadi antara juadah utama perbualan panas sewaktu bertandang ke rumah sanak saudara dan sahabat handai.

Sambil menikmati hidangan kuih-muih, ketupat rendang dan bertanyakan khabar, terselit soalan cepu emas yang sering diajukan: "PMX boleh bertahan lima tahun ke?"

PMX singkatan buat Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Belum sampai 200 hari beliau dilantik menjadi perdana menteri namun persoalan berapa lama beliau dapat mempertahankan kedudukannya daripada usaha "tebuk atap" pihak pembangkang semakin hangat diperkata.

Baru-baru ini timbul teka-teki erti angka '126' yang dibangkitkan seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Encik Muhammad Faiz Na'aman, dalam satu pos Facebook.

Timbul spekulasi ia mencerminkan jumlah kerusi majoriti Parlimen yang akan menyokong pembangkang membentuk sebuah kerajaan baru.

Kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Anwar mempunyai sokongan 148 Ahli Parlimen (AP) daripada 222 kerusi Dewan Rakyat (Parlimen).

Pembangkang Perikatan Nasional (PN) ada 74 kerusi, namun mereka dikatakan telah mempunyai surat akuan bersumpah (SD) daripada 126 AP untuk menumbangkan kerajaan Datuk Anwar.

Desas-desus yang bertiup kencang itu mendorong Datuk Anwar mengeluarkan kenyataan Jumaat lalu untuk melahirkan keyakinan bahawa pentadbirannya akan kekal hingga pilihan raya seterusnya.

"Tunggu masa Parlimen, bawalah usul SD. Usul di Parlimen tiada masalah. Ini tiap-tiap minggu dia jadi macam mengigau mingguan - sebelum puasa, sebelum Raya, lepas Raya, sebelum Raya Haji, sebelum Thaipusam, Tahun Baru Cina," kata beliau dengan nada berseloroh.

Pertemuan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin tertinggi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Seri Abdul Hadi Awang, minggu lalu untuk menandatangani Proklamasi Orang Melayu turut menimbulkan tengkarah.

Proklamasi itu, yang menggesa kaum Melayu bersatu untuk membicarakan permasalahan, perjuangan dan masa depan politik mereka, dikatakan adalah salah satu usaha pembangkang untuk menumbangkan kerajaan sekarang.

Khabar angin tentang pertukaran kerajaan turut membuat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, melahirkan kebimbangannya.

"Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan (masyarakat) negara kita, baik dari segi sosial, ekonomi, mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.

"Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini?" ujar Sultan Ibrahim.

Langkah menumbangkan kerajaan lebih rumit sekarang berbanding Langkah Sheraton pada 2020 yang menyingkir Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Akta Lompat Parti yang diluluskan pada 2022 menghalang AP bertindak sendirian untuk berpaling tadah. Mereka terikat dengan pendirian parti. Oleh kerana itu, satu-satunya cara ialah mereka meletak jawatan dan memaksa pilihan raya kecil diadakan. Mereka kemudian boleh bertanding semula sebagai calon pembangkang.

Menurut desas-desus yang tersebar, 12 AP daripada Umno dikatakan telah menandatangani SD menyokong pembangkang. Namun jumlah itu tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan kerana PN memerlukan 38 kerusi untuk mendapat 112 kerusi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

PN juga perlu mendapat sokongan daripada parti di Sabah dan Sarawak, terutama Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang mempunyai 23 kerusi di Parlimen. Percaturan politik di Sabah dan Sarawak lebih rumit kerana terdapat pelbagai haluan berbeza antara parti.

Ketika dihubungi, Encik Eddin Khoo, Zamil Kanan Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa Malaysia, berkata: "Tidak akan berlaku pertukaran kerajaan pada masa ini. Tetapi itu bukan tujuannya (desas-desus itu).

"Tujuan sebenarnya adalah menggugat kedudukan PMX bagi jangka masa panjang. PMX harus membuktikan dengan kukuh bahawa kerajaan perpaduan ini memang berkesan."

Menurut penganalisis politik, dua faktor utama akan menjejas tahap keyakinan rakyat terhadap Datuk Anwar.

Pertama ialah pengampunan mantan perdana menteri, Najib Tun Razak, dan keputusan tuduhan kes rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

"Fenomena Bossku adalah satu khayalan dan ramai terbawa-bawa dengan fenomena ini di alam maya. Sokongan besar pada Perikatan Nasional dalam PRU15 berpunca daripada tanggapan bahawa Umno adalah parti yang dilanda rasuah.

"Orang ramai semakin tidak percaya pada kewibawaan sistem mahkamah. Tapi pada masa sama tidak akan bersetuju dengan pembebasan Najib melalui proses pengampunan.

"Mungkin satu proses pengadilan semula harus diadakan," ujar Encik Khoo.

Penulis mantan wartawan BH dan kini tinggal di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.

BASIR SISWO

E-MEL

DARI KL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >