Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebuh raya di M'sia sesak jelang Hari Raya

Lonjakan trafik dijangka berlaku dengan keputusan kerajaan tiadakan caj tol pengguna lebuh raya Utara-Selatan
May 1, 2022 | 5:30 AM
CAJ TOL DITIADAKAN: Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan meniadakan caj tol pengguna lebuh raya itu pada 30 April, 1 Mei, 7 Mei dan 8 Mei sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ramai pengguna akan merebut peluang menikmati pengecualian tol itu. - Foto ASTRO AWANI
CAJ TOL DITIADAKAN: Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan meniadakan caj tol pengguna lebuh raya itu pada 30 April, 1 Mei, 7 Mei dan 8 Mei sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ramai pengguna akan merebut peluang menikmati pengecualian tol itu. - Foto ASTRO AWANI -

SEBAGAIMANA yang dijangka, Lebuhraya Utara-Selatan yang menghubungkan negeri-negeri antara Perlis di utara dengan Johor di selatan penuh sesak sejak beberapa hari lalu.

Begitu juga dengan lebuh raya dan jalan-jalan yang menghubungkan negeri pantai timur Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Ramai ramai rakyat Malaysia pulang ke kampung meraikan bersama keluarga dan sanak-saudara, menyusuli kelonggaran sekatan selepas dua tahun Aidilfitri disambut suram ekoran Covid-19.

Jika tahun lalu ada laporan mengenai sebilangan orang yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menggunakan 'jalan tikus', untuk pulang ke kampung semasa Hari Raya, keadaan berubah.

Selain lebuh raya, banyak jalan sesak dengan kenderaan.

Lonjakan trafik memang dijangka berlaku antara 29 April dan 9 Mei.

Mentelah, Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan meniadakan caj tol pengguna lebuh raya itu pada 30 April, 1 Mei, 7 Mei dan 8 Mei sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengendali terbesar lebuh raya itu, Plus Malaysia Bhd (Plus) mengalu-alukan keputusan itu, menurut beberapa laporan akhbar, termasuk The New Straits Times.

Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail, dipetik berkata syarikat itu percaya ramai pengguna akan merebut peluang menikmati pengecualian tol dan merancang perjalanan "balik kampung" dan "balik kota" mereka.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka dengan teliti dan menjangka perjalanan pulang ke kampung halaman yang dijangka mengambil masa lebih lama terutama dalam tempoh empat hari khas yang diumumkan perdana menteri, katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

"Kita telah melaksanakan pelbagai langkah untuk laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat," kata beliau.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata pihaknya menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan berada dalam rangkaiannya.

Beliau berkata lebuh raya itu dijangka mengalami kesesakan yang boleh memanjangkan atau memanjangkan tempoh masa perjalanan orang ramai.

PLUS telah membuat persiapan, termasuk menambah pasukan peronda PLUSRonda untuk memberi bantuan kepada pelanggan dan kenderaan yang terkandas di lebuh raya.

Bilangan pasukan peronda PLUSRonda telah ditambah kepada 520 pasukan, yang akan membolehkan mereka meningkatkan kekerapan rondaan mereka, terutamanya di kawasan kritikal.

"Kami juga sedar bahawa sebarang kemungkinan kenderaan rosak dan terkandas di lebuh raya akan memberi kesan kepada pergerakan lalu lintas," kata beliau.

Justeru, beliau berkata PLUS menempatkan trak tunda dan kren di lokasi kritikal di lebuh raya bagi memudahkan dan mempercepatkan proses mengalihkan kenderaan yang terkandas.

Beliau telah menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mematuhi arahan yang diberikan melalui papan tanda yang diletakkan di lokasi yang ditetapkan.

Menurutnya lagi, PLUS akan terus bekerjasama dengan penguatkuasa serta agensi kecemasan dan penyelamat untuk menjalankan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya.

Beliau berkata kira-kira 500 anggota pasukan respons kecemasan (ERT) juga akan bersiap sedia di lebuh raya untuk memberi bantuan.

Selain lebuh raya, katanya, PLUS juga akan memberi lebih tumpuan kepada aliran trafik dan keselesaan pelanggan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat.

Beberapa laporan akhbar menukil polis yang menjangka lebih 1.4 juta kenderaan memasuki Kedah semasa sambutan Aidilfitri, berbanding kira-kira 500,000 kenderaan dua tahun lalu.

Ada juga laporan yang meramalkan empat juta kenderaan memasuki Perak mulai 29 April.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata peningkatan kenderaan dijangka terutama pada waktu puncak Sabtu dan Ahad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg