Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebuh raya utama Pakistan mungkin dipecahkan bagi halang banjir

Sep 13, 2022 | 5:30 AM
DITENGGELAMI AIR: Tentera Pakistan menyelamatkan penduduk ke kawasan yang lebih tinggi di daerah Jamshoro, wilayah Sindh, Pakistan, kelmarin. - Foto EPA-EFE
DITENGGELAMI AIR: Tentera Pakistan menyelamatkan penduduk ke kawasan yang lebih tinggi di daerah Jamshoro, wilayah Sindh, Pakistan, kelmarin. - Foto EPA-EFE -

DADU, PAKISTAN: Pihak berkuasa di selatan Pakistan merancang memecahkan Lebuh Raya Indus, iaitu rangkaian pengangkutan utama, bagi membolehkan air mengalir dan menghalang banjir di bandar Dadu.

Banjir daripada monsun yang mencatat rekod dan pencairan glazier di utara Pakistan memberi kesan kepada 33 juta orang dan membunuh sekurang-kurangnya 1,391 orang, menghanyutkan rumah, jalan raya, kereta api, ternakan dan tanaman.

Pakistan menganggarkan kos kerosakan sebanyak AS$30 bilion ($41.9 bilion) dan pemerintah serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyatakan perubahan iklim menyebabkan banjir, cuaca ekstrim hingga mengakibatkan kemusnahan.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga lokasi di daerah Dadu di mana Lebuh Raya Indus ditenggelami air, dengan lalu lintas dihentikan selama beberapa minggu, manakala lebuh raya lain di Pakistan yang menghubungkan utara dan selatan juga dilanda banjir dengan teruk.

"Semua banjir lain yang melanda bahagian negara ini sedang dalam fasa pemulihan, tetapi kami masih berada di tahap awal melainkan jika air banjir ini cepat surut," kata Pesuruhjaya Daerah Dadu, Syed Murtaza Ali Shah.

Agensi PBB telah mula bekerja untuk menilai keperluan Pakistan untuk membangunkan pelan pembinaan semula pasca bencana selepas negara itu menerima 391 milimeter (mm) hujan atau hampir 190 peratus lebih daripada purata 30 tahun, pada bulan Julai dan Ogos.

Wilayah selatan Sindh menyaksikan 466 peratus lebih banyak hujan daripada purata dan Dadu, dengan populasi 1.5 juta menyaksikan semua air banjir melaluinya.

"90 peratus daripada daerah Dadu ditenggelami air, bandar Dadu masih terancam dan kami cuba melindunginya," kata Syed Murtaza sambil menambah bahawa kerajaan telah menyediakan semua jentera dan bahan yang diperlukan untuk membina benteng.

PBB turut mengumumkan pemberian bantuan bernilai AS$7 juta daripada Tabung Bantuan Kecemasan Pusat (CERF) bagi meningkatkan tindak balas terhadap bencana banjir dahsyat yang melanda Pakistan, lapor akhbar Saudi Gazette, kelmarin.

Pembiayaan itu bertujuan membantu mencegah penyakit bawaan air dan wabak-wabak berisiko selain menyediakan makanan tambahan, air bersih dan penjagaan kesihatan reproduktif untuk penduduk paling terdedah serta makanan untuk haiwan ternakan.

Peruntukan itu dimaklumkan oleh Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Encik Martin Griffiths, yang berada di Pakistan untuk menyokong tindak balas bantuan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg