RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi telah menahan seorang lelaki yang mendakwa dia telah melakukan perjalanan ke kota suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah bagi mendiang Ratu Elizabeth II.
Lelaki itu, seorang warga Yaman, telah menyiarkan klip video dirinya kelmarin di media sosial ketika dia berada di Masjidil Haram di Makkah, tapak yang paling suci bagi orang Islam, di mana orang bukan Islam dilarang masuk.
Dalam klip itu, dia kelihatan memegang kain rentang yang menyatakan: "Umrah untuk Ratu Elizabeth II, kami meminta tuhan menerimanya di syurga dan di kalangan orang-orang yang soleh."
Rakaman itu telah diedarkan secara meluas di media sosial Saudi, dengan pengguna Twitter menyeru untuk lelaki itu ditangkap.
Pihak Arab Saudi melarang para jemaah yang ke Makkah daripada membawa sepanduk atau menyatakan sebarang slogan.
Walaupun amalan menunaikan umrah bagi pihak umat Islam yang telah meninggal dunia boleh dilakukan, ini tidak boleh dilakukan untuk mereka yang bukan Islam seperti mendiang Ratu Elizabeth II, yang merupakan gabenor tertinggi gereja di England, yang juga ibu gereja Anglikan Communion di seluruh dunia.
Satu kenyataan oleh media negara lewat kelmarin menyatakan bahawa pasukan keselamatan di Masjidil Haram "telah menahan seorang penduduk Yaman yang muncul dalam klip video membawa sepanduk ke dalam Masjidil Haram kerana melanggar peraturan dan arahan dalam melakukan umrah.
"Dia telah ditangkap, langkah undang-undang telah diambil terhadapnya dan dia telah dirujuk kepada pendakwaan awam."
Televisyen negara telah menyiarkan beberapa segmen mengenai kejadian itu termasuk klip video kontroversi tetapi dengan sepanduknya dikaburkan. Ratu Elizabeth II telah mangkat Khamis lalu. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg