PARIS: Seorang lelaki yang disyaki membunuh seorang individu dan mencederakan tujuh yang lain dalam siri serangan tembakan berhampiran Paris mengaku sengaja menyasarkan orang Islam serta individu berketurunan Afrika dan Afrika Utara.

Suspek berusia 39 tahun, yang hanya dikenal pasti sebagai Kevin T., turut mengakui telah merancang serangan itu lebih awal dan memilih kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam serta pendatang sebagai sasarannya.

Pendakwa raya antikeganasan Perancis, Encik Olivier Christen, berkata suspek memberitahu penyiasat bahawa beliau memilih kawasan berkenaan kerana menganggapnya sebagai “sarang golongan Islamis”.

Serangan berlaku pada 23 Oktober di Trappes, sebuah bandar yang mempunyai ramai penduduk Islam dan pendatang, serta bandar berhampiran La Verrière, di barat daya Paris.

Menurut Encik Christen, suspek pada mulanya menafikan serangan itu bermotifkan perkauman, tetapi kemudian mengaku sengaja menyasarkan individu yang kelihatan beragama Islam atau berketurunan Afrika.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan pihak berkuasa bahawa tindakannya merupakan pengganasan dan mendakwa perbuatannya mempunyai alasan yang sah.

Suspek juga memberitahu penyiasat bahawa beliau tidak sengaja menyasarkan kanak-kanak, tetapi tidak menunjukkan sebarang penyesalan terhadap serangan tersebut.

Siasatan mendapati suspek melepaskan sebanyak 128 das tembakan menggunakan senjata automatik Sten berkaliber sembilan milimeter di lapan lokasi sepanjang laluan kira-kira 11 kilometer.

Kebanyakan tembakan dilepaskan dari dalam keretanya.

Seorang lelaki berusia 26 tahun, Encik Pengo Bossio Wangi, maut selepas ditembak di sebuah taman di Trappes.

Suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah beberapa individu di sebuah stesen minyak di bandar sama, menyebabkan seorang mangsa cedera parah.

Di La Verrière, tiga lagi individu, termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, mengalami kecederaan serius.

Di empat lokasi lain, suspek turut melepaskan tembakan ke arah lapan individu, termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, tetapi tidak mengenai mereka.

Sehingga 29 Oktober, tiga daripada tujuh mangsa yang cedera masih dirawat di hospital, termasuk seorang yang berada dalam keadaan kritikal.

Pihak berkuasa bagaimanapun mengesahkan bahawa kanak-kanak berusia 11 tahun yang cedera dijangka terselamat.

Menurut pendakwa raya, siasatan menunjukkan suspek telah membuat persiapan rapi sebelum melancarkan serangan.

Beliau membeli senjata api pada September, melangsaikan hutang keluarga dan menyelesaikan beberapa urusan peribadi.

Dua hari sebelum kejadian, suspek memadam semua akaun media sosialnya dan menjual komputer ribanya.

Polis turut menemui bahan letupan yang dipasang sebagai perangkap di rumah suspek, sebelum berjaya mematikannya.

Pemeriksaan menemukan beberapa senjata lain, termasuk buku lima, bayonet dan alat peredam bunyi.

Turut ditemukan ialah lebih 200 pelekat yang menyatakan sokongan terhadap pasukan penguat kuasa undang-undang dan semangat nasionalisme Perancis.

Sebanyak 30 pelekat mengandungi lambang parti berhaluan kanan, National Rally.

Bagaimanapun, suspek menafikan mempunyai hubungan dengan mana-mana parti politik.

Suspek turut menjalani pemeriksaan psikiatri selepas ditahan kerana menunjukkan tingkah laku tidak menentu dan mencederakan dirinya sendiri.

Pemeriksaan mendapati beliau tidak mengalami gangguan psikiatri yang cukup serius untuk mewajarkan kemasukan paksa ke hospital.

Macron beri amaran mengenai perkauman

Serangan itu mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan sentimen perkauman di Perancis menjelang pilihan raya presiden pada 2027.

Presiden Emmanuel Macron menyifatkan kejadian tersebut sebagai amaran serius kepada masyarakat Perancis.

Dalam wawancara menerusi YouTube pada 28 Oktober, beliau berkata wujud suasana yang semakin membenarkan kenyataan berunsur perkauman disuarakan secara terbuka.

Beliau turut mengkritik National Rally dan sekutunya kerana didakwa membiarkan sentimen perkauman mempengaruhi perdebatan politik negara.

Sementara itu, pihak pendakwaan sedang menyiasat suspek atas kesalahan membunuh dan cubaan membunuh yang dikaitkan dengan kegiatan pengganasan, dengan motif perkauman sebagai faktor yang boleh memberatkan kesalahan.

Suspek belum didakwa secara rasmi, manakala pendakwa raya telah memohon supaya beliau ditahan sementara menunggu perbicaraan.

Sejak kejadian itu, beberapa perhimpunan diadakan di Paris, Trappes dan La Verrière bagi mengecam perkauman serta memperingati mangsa yang terbunuh.

Kerajaan Perancis turut mengumumkan bahawa Perdana Menteri, Encik Sébastien Lecornu, akan mengetuai majlis penghormatan negara kepada Encik Bossio Wangi selepas berbincang dengan keluarganya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti