BANDAR GAZA: Sekurang-kurangnya empat letupan besar menggegarkan ruang udara Gaza pada awal pagi 19 September, dengan bebola api menjulang memenuhi ruang langit wilayah itu.
Serangan bertubi-tubi disusuli kereta kebal Israel yang mara melalui dua laluan utama menuju ke Bandar Gaza sementara talian komunikasi terputus selama beberapa jam.
Pemerhati bimbang perkembangan ini menandakan peningkatan serius dalam operasi darat Israel yang semakin agresif.
“Gaza kini menjadi zon perang terbuka. Tiada tempat yang selamat untuk orang awam,” kata seorang penduduk kepada agensi berita tempatan.
Video yang dikongsi media tempatan menunjukkan kesan serangan berhampiran dua hospital utama yang masih berfungsi di Gaza.
Sekurang-kurangnya 15 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh di luar Hospital al-Shifa, manakala beberapa lagi maut dalam serangan berasingan berhampiran Hospital al-Ahli.
“Kami melihat mayat bergelimpangan di luar hospital. Orang ramai datang mencari perlindungan, tetapi mereka tetap menjadi sasaran,” kata seorang saksi di lokasi.
Dengan kekurangan tempat perlindungan, ramai penduduk Gaza yang dipindahkan kini terpaksa mendirikan khemah di kawasan tapak pelupusan sampah. Keluarga di situ mendakwa mereka dikelilingi sampah sarap, bau busuk dan penyakit. “Anak-anak kami tidur bersebelahan timbunan sampah. Kami rasa seperti dibuang,” luah seorang pelarian.
Selepas dua hari terputus akibat serangan Israel ke atas infrastruktur, perkhidmatan Internet dan talian tetap di Gaza akhirnya dipulihkan.
Syarikat Telekomunikasi Palestin (Paltel) dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Wafa berkata pasukan mereka berjaya menyambung semula rangkaian pada 19 September walaupun berdepan situasi berbahaya.
Gangguan komunikasi sebelum ini menjejaskan operasi sektor penting termasuk pertahanan awam, perkhidmatan ambulans, hospital dan pengagihan bantuan kemanusiaan. Pertubuhan hak asasi antarabangsa mengecam tindakan Israel memutuskan rangkaian secara sistematik.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Euro-Mediterania mendakwa terdapat lebih 12 kali gangguan menyeluruh sejak Oktober 2023. “Ini dasar sistematik untuk mengasingkan Gaza daripada dunia luar dan menutup jenayah Israel,” kata badan itu.
Dalam kenyataan tegas, sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, memberi amaran mereka tidak akan menjamin keselamatan tebusan Israel selagi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meneruskan kempen ketenteraan.
“Para tebusan anda berada di seluruh kejiranan di Bandar Gaza. Kami tidak akan melindungi mereka selagi Netanyahu memilih untuk membunuh mereka dengan menjarah Bandar Gaza,” kata kenyataan itu.
Briged al-Qassam turut memberi amaran bahawa perluasan operasi Israel bermakna tiada tebusan akan dipulangkan hidup atau mati. “Nasib mereka akan sama seperti Ron Arad,” tambahnya, merujuk kepada seorang askar Israel yang hilang di Lebanon pada 1986 dan dipercayai mati.
Serangan darat Israel di Bandar Gaza bermula pada 11 Ogos lalu dari kejiranan Zeitoun di tenggara, dalam operasi dinamakan “Gideon’s Chariots 2”. Taktik mereka termasuk mengebom rumah menggunakan dron, tembakan artileri secara rambang dan pengusiran paksa.
Pada malam 17 September malam, saksi melaporkan jentera berat Israel, termasuk kereta kebal, mara ke kawasan baharu di kejiranan barat laut Bandar Gaza. Hamas pula berikrar akan menjadikan Gaza “kubur” untuk askar Israel. “Anda memasuki perang geseran yang akan meragut lebih banyak nyawa dan menambah jumlah tebusan,” tegas Briged al-Qassam.
Israel menganggarkan 48 rakyatnya masih ditahan di Gaza, termasuk 20 yang dipercayai hidup. Dalam masa sama, sekitar 11,000 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel, kebanyakannya melaporkan penyeksaan, kelaparan dan pengabaian perubatan.
Menurut laporan Palestin dan Israel, puluhan tahanan telah mati akibat keadaan tersebut.
Sejak serangan bermula pada Oktober 2023, lebih 65,000 penduduk Palestin terbunuh, manakala seluruh Gaza musnah dan kini berdepan kebuluran.
Israel kini sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakannya di Gaza.
“Dunia perlu bertindak segera. Gaza bukan sahaja berdepan serangan ketenteraan, tetapi juga pembunuhan beramai-ramai yang cuba ditutup dengan memutuskan komunikasi,” kata seorang pegawai hak asasi manusia PBB. – Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg