JAKARTA: Gangguan penerbangan akibat abu gunung berapi Anak Krakatau berlanjutan untuk hari kedua pada 7 September, dengan tujuh lapangan terbang Indonesia, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, ditutup sekurang-kurangnya sehingga 6 petang waktu tempatan.

Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata kira-kira 2,300 penerbangan dan 263,000 penumpang terjejas setakat 9 pagi, meningkat daripada sekitar 1,700 penerbangan dan 170,000 penumpang sehari sebelumnya.

Gangguan itu melibatkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta pesawat yang terpaksa dialihkan ke lapangan terbang lain.

Tujuh lapangan terbang yang masih ditutup ialah Soekarno-Hatta dan Halim Perdanakusuma di Jakarta, Radin Inten II dan Muhammad Taufiq Kiemas di Lampung, Husein Sastranegara di Jawa Barat serta Budiarto dan Pondok Cabe di Banten.

Lapangan Terbang Atung Bungsu di Sumatera Selatan, yang turut ditutup akibat abu gunung berapi, dibuka semula pada 9 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

Di Soekarno-Hatta sahaja, sekurang-kurangnya 243 penerbangan melibatkan 29,619 penumpang terjejas setakat 6.30 pagi.

Penolong Timbalan Komunikasi dan Hal Ehwal Undang-Undang lapangan terbang itu, Encik Yudistiawan, berkata ia melibatkan 184 penerbangan domestik, 54 penerbangan antarabangsa dan lima penerbangan kargo.

Penutupan sementara itu dilanjutkan sehingga 6 petang berikutan abu gunung berapi masih dikesan, selaras dengan Notis Kepada Misi Udara (NOTAM) yang dikeluarkan.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Encik Dudy Purwagandhi, berkata keputusan untuk mengekalkan penutupan tujuh lapangan terbang dibuat berdasarkan maklumat terkini daripada Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG).

Ujian bagi mengesan abu gunung berapi dilakukan setiap 30 minit ketika pihak berkuasa memantau perubahan keadaan.

Menurut Encik Dudy, perubahan arah angin pada altitud berbeza menyebabkan abu terus berada di ruang udara sekitar beberapa lapangan terbang berhampiran Anak Krakatau, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa menentukan bila operasi boleh disambung semula.

“Keselamatan adalah keutamaan kami. Kami menilai situasi terkini berdasarkan maklumat daripada BMKG, jadi kami belum dapat menentukan bila keadaan ini akan berakhir kerana cuaca terlalu dinamik,” katanya.

Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dengan Sumatera mula meletus pada 4 September.

Abu gunung berapi kemudian dikesan di Soekarno-Hatta pada awal 6 September, menyebabkan lapangan terbang utama Jakarta itu ditutup.

Selain keadaan ruang udara, lapangan terbang perlu dibersihkan sebelum operasi boleh disambung.

Encik Dudy berkata kerja membersihkan abu dari landasan, laluan pesawat dan kawasan parkir pesawat mengambil masa kira-kira dua jam pada sebelah malam. Kerja pembersihan tambahan mungkin diperlukan sekiranya abu terus turun.

Pesawat juga perlu diperiksa bagi memastikan abu tidak memasuki enjin sebelum dibenarkan kembali beroperasi.

Pihak berkuasa kini bersiap sedia menghadapi peningkatan mendadak jumlah penumpang apabila lapangan terbang dibuka semula, termasuk penumpang yang terkandas di luar negara seperti Singapura.

Syarikat penerbangan digalakkan menggunakan lapangan terbang alternatif di Kertajati, Semarang, Surabaya, Yogyakarta dan Solo bagi mengurangkan kesesakan.

Penumpang yang penerbangan mereka dialihkan turut diberikan pengangkutan darat percuma, termasuk bas dan kereta api.

Pengendali lapangan terbang InJourney Airports menyediakan bas percuma dari Soekarno-Hatta ke beberapa bandar termasuk Yogyakarta, Solo, Semarang dan Surabaya.

Lapan bas turut disediakan pada pagi 7 September untuk membawa penumpang ke Kertajati.

Kesan letusan itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan.

Kementerian Kesihatan Indonesia menganggarkan sekitar 3.3 juta warga emas berisiko mengalami masalah kesihatan akibat terdedah kepada abu gunung berapi.

Partikel halus daripada abu boleh memasuki jauh ke dalam sistem pernafasan dan memburukkan penyakit seperti asma serta penyakit paru-paru obstruktif kronik. Abu juga boleh menyebabkan kerengsaan mata dan kulit.

Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan memakai pelitup N95 atau KN95 dan cermin mata pelindung ketika berada di luar rumah.

Sekolah di Jakarta serta beberapa kawasan di Lampung dan Tangerang pula beralih kepada pembelajaran dari rumah bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada abu.

Perkhidmatan feri merentasi Selat Sunda antara Jawa dengan Sumatera masih beroperasi, meskipun jumlah penumpang dilaporkan berkurangan.

Anak Krakatau kekal pada Tahap III atau Siaga, iaitu tahap amaran kedua tertinggi.

Orang ramai dilarang berada dalam lingkungan tiga kilometer dari gunung berapi itu kerana pihak berkuasa memberi amaran letusan susulan masih boleh berlaku. - Agensi berita