WASHINGTON: Seramai lima orang maut dalam insiden tembakan yang dilepaskan ke arah 44 individu di bandar Midwestern, Chicago semalam.

Ketua Peronda Polis Chicago, Fred Walter dalam sidang media tengahari Ahad, berkata, beberapa tembakan itu sudah dirancang dan memiliki kaitan dengan konflik antara kumpulan penjenayah.

"Bandaraya Chicago dilanda malam penuh keganasan dan kes tembakan rambang di jalan raya seperti ini tidak boleh diterima sama sekali," katanya.

Menurut CNN, beberapa insiden tembakan dilaporkan berlaku antara waktu tengah malam dan 2 petang waktu tempatan, dengan 10 daripadanya berlaku hanya dalam tempoh tiga jam bermula dari jam 1.30 pagi waktu tempatan.

Kumpulan penyerang bersenjata itu menjadikan sekumpulan individu yang menghadiri majlis pengebumian sebagai sasaran dan antara mangsa tercedera ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Chicago mencatatkan kadar pembunuhan tertinggi yang hampir memecahkan rekod berusia 20 tahun pada 2016 namun menurut Walter, terdapat penurunan kes tembak sebanyak 30 peratus di bandar itu pada tahun ini manakala jumlah pembunuhan turut berkurangan sebanyak 25 peratus.

"Ini bukan satu kejayaan tetapi kami akan berusaha untuk bergerak ke arah yang benar," katanya.

Beliau juga memberitahu, sejumlah 5,500 senjata api haram telah dirampas dari jalan-jalan di sekitar bandaraya itu. - AFP