SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lima pegawai imigresen Batam diganti agar dapat siasat kes pemerasan

Lima pegawai imigresen Batam diganti agar dapat siasat kes pemerasan

Apr 6, 2026 | 1:08 PM

Lima pegawai imigresen Batam diganti agar dapat siasat kes pemerasan

batam
Terminal Feri Antarabangsa Batam Centre memperketat persiapan dan penyelarasan operasi bagi memastikan perjalanan penumpang kekal selamat, lancar dan selesa, ketika terminal itu turut menjadi tumpuan susulan dakwaan peras ugut melibatkan pegawai imigresen dengan pelancong asing. - Foto INSTAGRAM BCITOFFICIAL

BATAM: Ketua Pengarah Imigresen yang baru dilantik, Encik Hendarsam Marantoko, menggantikan ketua Pejabat Imigresen Batam, bersama empat lagi pegawai lain bagi membolehkan siasatan dalaman selama tiga bulan dijalankan oleh Direktorat Pematuhan Dalaman.

Ia susulan dakwaan pemerasan melibatkan pelancong asing di Terminal Feri Antarabangsa Batam Centre.

Tindakan itu diambil selepas isu berhubung dakwaan tersebut menjadi tular sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Encik Hendarsam, seorang peguam berpengalaman, dilantik oleh Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan, Encik Agus Andrianto, pada 1 April bagi menggantikan Pemangku Ketua Pengarah, Encik Yuldi Yusman.

Beliau dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perkhidmatan awam, penguatkuasaan undang-undang imigresen serta menyokong iklim pelaburan.

Ketua pejabat wilayah Kepulauan Riau bagi Direktorat Jeneral Imigresen, Encik Ujo Sujoto, mengesahkan langkah itu pada 2 April.

“Ya, mereka ditarik ke ibu pejabat untuk siasatan berhubung kes terbaru,” katanya.

Ketua Pejabat Imigresen Batam, Encik Hajar Aswad, adalah antara lima pegawai yang dipindahkan buat sementara.

Empat lagi ialah Ketua Jabatan Pemeriksaan Imigresen, Encik Richardo; Ketua Seksyen Pemeriksaan, Encik Yogi Prayogi; Pengurus Data Imigresen, Encik M Dewa Gian Sambada; dan Penganalisis Imigresen, Encik Javier Saviola.

Encik Javier ialah pegawai yang disebut secara terbuka semasa sidang media pada 29 Mac dengan inisial JS, iaitu individu yang didakwa berurusan secara langsung dengan seorang pemegang pasport Myanmar bernama Nay.

Menurut dakwaan, JS meminta bayaran $300 bagi tiga individu melalui seorang orang tengah, sebelum jumlah pungutan haram itu dikurangkan kepada $250.

Daripada jumlah itu, orang tengah berkenaan menerima $100, manakala selebihnya didakwa diserahkan kepada JS.

Kelima-lima pegawai itu telah dibebaskan daripada tugas masing-masing sepanjang tempoh siasatan dan ditempatkan sementara di Direktorat Pematuhan Dalaman.

Penempatan semula itu dinyatakan dalam surat Direktorat Jeneral Imigresen bertarikh 1 April mengenai penugasan sementara pegawai semasa siasatan dijalankan oleh Direktorat Pematuhan Dalaman.

Dakwaan pemerasan haram itu dikatakan melibatkan warga Singapura dan pemegang pasport Myanmar di Terminal Feri Antarabangsa Batam Centre pada 13 dan 14 Mac.

Sebelum ini, Direktorat Pematuhan Dalaman mengesahkan terdapat petunjuk amalan pungutan haram berjumlah $250 yang membabitkan seorang pegawai imigresen dan seorang orang tengah.

Seorang pegawai daripada Direktorat Pematuhan Dalaman, Encik Washington Napitupulu, berkata siasatan itu mendapat perhatian khusus daripada Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan, Encik Agus Andrianto, serta Encik Hendarsam, yang baru dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen pada 1 April.

Beliau berkata hukuman sedang dipertimbangkan mengikut Peraturan Pemerintah No. 94/2021 mengenai disiplin penjawat awam.

“Hukuman disiplin berat boleh melibatkan pemecatan. Jika terdapat bukti dan saksi yang mencukupi, kami boleh merujuk kes ini kepada polis atas dakwaan pemerasan dan gratifikasi,” katanya.

Menurut Encik Washington, pegawai imigresen yang ditukarkan, JS, akan dihantar ke Pulau Nusakambangan untuk mengikuti program khas.

Pulau Nusakambangan yang terletak berhampiran Cilacap di Jawa Tengah terkenal sebagai lokasi penjara keselamatan maksimum yang menempatkan banduan berisiko tinggi.

Sementara itu, Pejabat Imigresen Batam masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan kes itu selepas pertukaran pegawai terbabit.

Ketua maklumat dan komunikasi pejabat berkenaan, Encik Kharisma Rukmana, juga tidak memberikan maklum balas apabila dihubungi, The Jakarta Post, berhubung penempatan semula pegawai tersebut. –Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg