Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

LINGKARAN ASIA SEDEKAD SELEPAS PEMBERONTAKAN DAHSYAT DI SYRIA

Pertempuran kian reda tapi derita rakyat tiada akhirnya

Mar 29, 2021 | 05:30 AM



BEIRUT: Selepas satu dekad berlakunya keganasan dahsyat dan tragedi kemanusiaan besar, pertempuran di Syria tampak kian reda, namun penderitaan yang dialami rakyatnya masih berterusan.



Pada 2011, Encik Bashar al-Assad dan pemerintahnya kelihatan seperti satu lagi domino yang akan tumbang dalam satu siri pembaharuan prodemokrasi yang melanda beberapa negara Arab di Afrika Utara dan Timur Tengah.



Namun 10 tahun kemudian, Encik Assad, tetap menjadi presiden, dan 'pemenang perang' yang tidak menawarkan sebarang prospek perdamaian yang dapat dipercayai kepada rakyatnya selain mentadbir kedaulatan terbatas di negara sendiri, dengan kuasa asing melaksanakan kuasa mereka di negara itu.



Pada akhir Januari 2011, kejadian pemberontakan telah menggulingkan diktator di Tunisia, Mesir dan Libya dikenali sebagai "Arab Spring" dan ia menular di rantau itu.



Ia mengambil sedikit masa sebelum gelombang bantahan bertapak di Syria, memandangkan tunjuk perasaan telah dilarang selama setengah abad dan pemerintah Syria tampak lebih kukuh berbanding negara lain.



Beberapa tunjuk perasaan, seperti di luar kedutaan besar Libya, tampak menyokong pembaharuan di negara lain dan bukan sebagai cabaran langsung terhadap pemerintahan keluarga Assad yang telah memegang kuasa selama empat dekad.



"Kami meminta kebebasan dan demokrasi di Tunisia, Mesir dan Libya, tetapi kami sebenarnya melaungkan (perkara sama) di Syria," kata aktivis Syria yang terkenal, Encik Mazen Darwish.



"Kami tercari-cari apa yang boleh menjadi permulaan kepada usaha mahukan demokrasi di Syria," katanya kepada AFP.



Akhirnya, sekumpulan belia menulis di tembok "Giliran anda doktor (Assad)" di bandar Daraa, di selatan Syria.



Slogan itu merujuk kepada Encik Assad, dan mengharapkan agar doktor mata yang dilatih di London itu, akan mengalami nasib yang sama seperti pemimpin Tunisia, Encik Zine el-Abidine Ben Ali, yang terpaksa melarikan diri ke luar negara, atau Encik Muammar Gaddafi dari Libya, yang dibunuh oleh sekumpulan rakyat negara itu.



Grafiti tembok itu menyebabkan penangkapan dan penyiksaan sebilangan orang, yang kemudiannya menimbulkan kemarahan ramai yang mendorong sejumlah besar warga Syria mengadakan tunjuk perasaan.



Tarikh 15 Mac 2011 adalah tarikh yang digunakan AFP dan banyak pihak lain sebagai bermulanya pemberontakan di Syria.



Walaupun ia bukan hari pertama tunjuk perasaan diadakan, namun ia adalah hari di mana bantahan berlaku di seluruh negara dan secara serentak.



Wartawan dan pengarang Rania Abouzeid menerangkan detik itu melalui judul dalam bukunya mengenai perang Syria: 'No Turning Back'.



Beliau menulis: "Tembok ketakutan telah pecah, keheningan hilang. Konfrontasi wujud - buat semua pihak - sejak mula."



TINGGALKAN KEDIAMAN



Apa yang berlaku seterusnya menyebabkan konflik terburuk di planet ini.



Penduduk meninggalkan rumah mereka, dan menyaksikan separuh penduduk Syria sebelum perang yang berjumlah 22 juta terpaksa meninggalkan rumah mereka, adalah yang terbesar disebabkan oleh konflik sejak Perang Dunia Kedua.



Separuh daripada mereka lari meninggalkan Syria, antaranya menjadi gelombang pelarian yang semakin besar sehingga sampai ke sempadan Eropah - kejadian yang mempengaruhi pendapat umum, politik dan hasil pilihan raya di sebilangan negara di benua itu.



Dalam kekacauan menyusuli meletusnya konflik perang saudara di Syria, kumpulan paling ganas dalam ekstremisme moden - digelar Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) - mengisytiharkan "kekhalifahan" yang meliputi Syria dan Iraq yang membentuk semula keganasan sejagat.



Musuh ketat Iran dan Amerika Syarikat masing-masing menghantar askar ke Syria untuk melindungi kepentingan mereka, begitu juga Turkey.



Russia pula melancarkan campur tangan ketenteraan terbesarnya pada 2015, sejak perpecahan Soviet Union, satu langkah yang mengubah nasib Encik Assad.



Hampir 400,000 orang terbunuh dalam tempoh 10 tahun, menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, satu badan pengawas perang yang berpangkalan di Britain yang terus mengira mangsa perang itu.



Sebilangan besar daripada 117,000 orang awam yang terbunuh telah dibunuh oleh pemerintah Syria, dengan kesediaan pemerintah melakukan sedemikian telah mengejutkan banyak pihak.



"Saya tidak menyangka ia akan mencapai tahap keganasan seperti ini," kata aktivis Encik Darwish. "Tetapi saya tersilap."



Pemerintah Syria telah menggunakan senjata kimia di kawasan awam untuk menghancurkan penentangan, menyerang wilayah yang padat dengan penduduk dengan bom tong mentah yang menyebabkan kematian melata, dan secara sistematik menggunakan taktik pengepungan dan mengakibatkan kelaparan.



Encik Darwish, kini tinggal di Paris, mengakui gambaran suram selepas 10 tahun pemberontakan meletus, namun beliau juga yakin revolusi itu akan bertahan lama selepas pemerintahan Encik Assad.



"Perubahan besar memerlukan masa dan pengorbanan," kata aktivis berusia 47 tahun itu, yang dipenjara pada Februari 2012 dan diseksa selama lebih tiga tahun.



"Saya tidak fikir revolusi ini, termasuk di Mesir, Tunisia dan Libya, telah berjaya atau gagal. Dunia Arab telah memulakan proses yang baru bermula, "katanya.



"Ini adalah revolusi pertama yang kami lakukan. Kami telah melakukan banyak kesilapan. Kami berjanji akan melakukan lebih baik. - AFP




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >