Lion Air terhempas: Punca nahas masih jadi tanda tanya, Berita Dunia - BeritaHarian.sg
Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:32
Maghrib
7:16
Isyak
8:28
Suatu Ketika di Singapura

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia0

Lion Air terhempas: Punca nahas masih jadi tanda tanya

Nov 04, 2018 | 05:30 AM

JAKARTA: Syarikat penerbangan Lion Air sendiri mengakui masih keliru tentang punca pesawatnya terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta, kerana pesawat tersebut merupakan pesawat baru.

Ketua Eksekutif Kumpulan Lion, Edward Sirait memberitahu Reuters:

"Kami masih tidak berani menyatakan apakah fakta sebenar. Kami juga keliru tentang (apa punca), memandangkan ia pesawat baru," katanya.

Dalam kenyataan awal, syarikat tersebut memberitahu pesawat yang dalam perjalanan dari Jakarta ke Pangkal Pinang, dengan kod penerbangan JT610 mula beroperasi sejak Ogos lalu.

Pesawat tersebut menepati syarat untuk beroperasi dan dikendalikan juruterbang dan pembantu juruterbang yang merekodkan jumlah terkumpul jam penerbangan iaitu 11,000 jam.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Nahas udara yang berlaku di perairan Karawang, Indonesia, itu adalah insiden ketiga melibatkan pesawat komersial terhempas di republik berkenaan dalam tempoh 10 tahun ini.

Nahas pesawat milik Lion Air pada Isnin lalu itu adalah ketiga selepas kejadian pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang membawa 155 penumpang terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, 28 Disember 2014, mengorbankan kesemuanya.

Sebelum itu, pada 13 April 2013, pesawat komersial milik Lion Air terhempas ketika dipandu oleh juruterbang baharu menjadi punca pesawat dipandunya terbabas ke laut ketika mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali.

Kesemua 108 penumpang dan kru pesawat itu terselamat.

Ketua Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan (KNKT) Soerjanto Tjahjono berkata:

"Kemalangan ini sangat mengejutkan saya, semuanya telah bertambah baik, kemalangan telah dikurangkan dengan sangat drastik, mengapa ini berlaku."

Perkara yang sama dinyatakan oleh Encik Greg Waldron dari Flightglobal, sebuah syarikat yang merekodkan insiden dalam penerbangan dunia.

Terhempasnya Lion Air JT610, menurut Waldron "ini adalah kemalangan besar pertama Boeing 737 Max".

Menurut Flightglobal, sebelum kemalangan ini, Lion Air mempunyai 11 kemalangan besar dan sejak 2002, syarikat penerbangan itu telah kehilangan lima pesawat dalam lima kemalangan.

Pengamat keselamatan penerbangan David Gleave memberitahu media di Britain, Telegraph Travel, bahawa rekod keselamatan Lion Air masih dipersoalkan.

Selain kemalangan, penerbangan itu juga mencatatkan banyak penangguhan.

Pada 2012, Lion Air juga berdepan dengan dua juruterbang yang ditangkap mengambil dadah.

Indonesia sebelum ini pernah disekat daripada terbang ke Eropah dan Amerika Syarikat pada 2007 ekoran kejadian nahas udara yang berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan.

Bagaimanapun sekatan itu telah ditarik balik selepas republik berkenaan berjaya membukti iltizam dan berjaya mengatasi masalah yang menimbulkan keraguan pelbagai pihak sebelum ini.

Bagaimanapun kejadian terbaru membangkitkan semula rasa bimbang itu, ketika Indonesia seperti negara Asia lain sedang melalui fasa pertumbuhan mendadak industri penerbangan.

Rasa kurang selamat itu meningkat apabila membabitkan syarikat penerbangan tambang murah seperti Lion Air dan banyak lagi syarikat tambang murah di Indonesia.

Di tengah-tengah rekod penambahbaikan keselamatan yang dibuat oleh pemerintah Indonesia, Kesatuan Eropah (EU) membatalkan pengharaman beberapa penerbangan Indonesia pada bulan Jun lalu.

Banyak perhatian difokus pada keadaan pesawat Boeing 737 MAX 8, sebuah pesawat yang hanya berusia kira-kira dua bulan. Ini adalah kemalangan besar pertama pesawat jenis ini.

Butiran sejauh ini masih minimum dan penyebabnya tidak dapat dipastikan sehingga kotak hitam dan siasatan menyeluruh ditemui.

Pakar penerbangan, Encik Alastair Rosenschein, telah melihat data penerbangan Lion Air JT 610 dan melihat ada perubahan drastik dari ketinggian pesawat.

"Ia seperti ada masalah pada kawalan," kata Encik Rosenschein dalam wawancara dengan CNN International.

Encik Rosenschein menganggap penyebab jatuhnya Lion Air JT610 bukan disebabkan cuaca mahupun kesilapan manusia.

Beliau yang juga bekas juruterbang British Airways merasakan terdapat masalah mekanik pada pesawat.

Boeing 737 MAX 8 baru telah mula beroperasi untuk kegunaan komersial sejak 2017.

Malah, pegawai Lion Air sendiri mengatakan pesawat itu mengalami 'masalah teknikal' yang tidak dinyatakan dalam penerbangan sebelumnya, tetapi ia "ditangani mengikut prosedur".

Lion Air berkata pada Julai lalu bahawa mereka "sangat bangga" menjadi syarikat penerbangan pertama di Indonesia menggunakan pesawat itu dan telah menempah sehingga 218 unit.

Pesawat baru itu mencatatkan 800 jam penerbangan, kata Ketua Eksekutif Lion Air, Encik Edward Sirait.

Menurutnya, Lion Air kini mengendalikan 11 model pesawat yang sama.

Beliau berkata tidak ada rancangan berhenti menggunakan pesawat.

Encik Sirait, menegaskan pihaknya telah mengikut prosedur ditetapkan.

"Pesawat ini sebelumnya terbang dari Denpasar ke Cengkerang (Jakarta). Terdapat laporan mengenai masalah teknikal, namun telah diselesaikan mengikut prosedur," katanya.

Pengamat penerbangan Gerry Soejatman memberitahu BBC bahawa pesawat lama biasanya berada pada risiko tertinggi (mengalami kemalangan), tetapi pesawat yang masih sangat baru juga membawa risiko mereka yang tersendiri.

"Sekiranya ia sangat baru kadang-kadang terdapat masalah yang baru dilihat (yang digunakan secara rutin). Ini biasanya diselesaikan (dalam) tiga bulan pertama."

Seorang lagi pemerhati penerbangan, Encik Jon Ostrower, berkata pesawat baru pada umumnya "tidak diselenggara kerana semuanya masih sangat baru'.'

Kedua-dua pemerhati berkata ia terlalu awal membuat kesimpulan secara menyeluruh mengenai masalah yang dialami oleh Penerbangan JT610.

"Kemungkinan besar masalah teknikal adalah punca, tetapi masih terlalu awal. Kita hanya boleh (menentukan sebab) apabila kita mendapat lebih banyak maklumat,"kata Encik Soejatman.

"Saya tidak tahu apa yang menyebabkan pesawat terhempas. Ada banyak elemen yang boleh menyebabkan kemalangan seperti ini," katanya kepada BBC.

Menurut Boeing, siri 737 MAX adalah pesawat terlaris dalam sejarahnya dan telah menerima hampir 4,700 pesanan.

MAX 8 telah ditempah oleh pelbagai syarikat penerbangan, termasuk American Airlines, United Airlines, Norway dan FlyDubai.

Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSC) dalam laporannya menyatakan, analisis perakam suara kokpit mendapati, kerosakan sistem navigasi atau Inertial Reference System telah mengalihkan perhatian juruterbang daripada instrumen penerbangan.

Jika isu itu tidak tangani segera dengan baik ia akan kembali menjadi titik hitam kepada penerbangan Indonesia dan pastinya turut terpalit kepada syarikat penerbangan lain di negara berkenaan serta rantau ini.

Penemuan kotak hitam pada Khamis lalu di perairan Karawang, Jawa Barat, dijangka dapat merungkai "misteri kemalangan", kata Encik Soerjanto.

Di dalam kotak hitam terdapat dua alat kotak hitam, FDR (Perakam Data Penerbangan) dan CVR (Perakam Suara Kokpit).

Yang ditemui pasukan di perairan Teluk Karawang ialah FDR.

"Kemungkinan besar ini adalah FDR, kami akan memeriksa di makmal untuk memastikannya. FDR mempunyai fungsi merekodkan data penerbangan bermula dari ketinggian hingga kelajuan," kata Encik Soerjanto.

"Dari sini kami berharap dapat membongkar misteri pesawat Lion Air," katanya. - Agensi berita.


NAHAS PENERBANGAN DI INDONESIA

INSIDEN LIBATKAN PESAWAT LION AIR

2004: 26 orang terbunuh manakala 100 lagi cedera apabila pesawat terbabas dari landasan di lapangan terbang di Solo. Pengendali penerbangan itu menyalahkan keadaan cuaca buruk serta angin kencang.

2013: Juruterbang gagal mengawal pesawat ketika melakukan pendaratan hingga terbabas ke laut di Bali menyebabkan pesawat terbabit putus dua. Namun tiada penumpang yang terkorban.

2016: Satu lagi masalah teknikal berlaku kepada pesawat Lion Air ketika hendak berlepas di lapangan terbang Soekarno-Hatta di Jakarta.

2018: Pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lalu juga dilaporkan mengalami masalah teknikal dalam penerbangan awal sebelum nahas.

INSIDEN LAIN

1. April 2013

Boeing 737-800 Lion Air terbelah dua selepas terbabas dari landasan kapal terbang dan terhempas di perairan di Bali.

Kesemua 108 orang yang berada dalam pesawat tersebut selamat selepas mereka berenang ke tepi pantai. Dilaporkan juruterbang pesawat terbabit kurang berpengalaman.

2. Disember 2014

Pesawat AirAsia QZ8501 hilang kawalan sebelum terhempas di Laut Jawa sehingga mengorbankan 162 nyawa.

Pesawat berkenaan dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura. Berdasarkan laporan Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) Indonesia, komputer kawalan penerbangan pesawat Airbus A300-200 itu rosak berulang kali termasuk empat kali semasa penerbangan dan 23 kali dilaporkan berlaku pada tahun sebelumnya.

3. Ogos 2015

Pesawat Trigana Air terhempas di Papua New Guinea disebabkan cuaca buruk yang menyebabkan semua 54 orang di dalam jet itu maut. Pesawat itu membawa 44 penumpang dewasa, lima kanak-kanak dan lima anak pesawat, semuanya warga Indonesia.

4. Mei 2016

Dua pesawat Lion Air bertembung di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, Indonesia manakala sebulan sebelum itu, pesawat Batik Air tersangkut dengan sebuah pesawat TransNusa. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

5. 4 Jun 2016

Helikopter jenis Bell 206 milik syarikat PT Amur terhempas di daerah Nabire, wilayah Papua di timur Indonesia menyebabkan empat orang maut.

6. 20 Mac 2016

Helikopter jenis 412 EP milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat membawa 13 anggota tentera terhempas dipercayai akibat disambar petir di Poso, Sulawesi Tengah. Kesemua penumpang dan juruterbang terkorban.

7. 10 Feb 2016

Pesawat EMB-314 Super Tucano milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) terhempas di kawasan perkampingan Blimbing, Kota Malang, Jawa Timur menyebabkan tiga maut termasuk dua orang awam.

8. 1 Julai 2015

Pesawat Hercules C-130 milik Angkatan Tentera Udara Indonesia terhempas di kawasan perumahan awam di Medan, utara Sumatera mengorbankan lebih 140 nyawa.

9. 28 Dis 2014

Pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 yang membawa 155 penumpang terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah selepas hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura. Pesawat Airbus A320-200 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda pada 5.30 pagi (waktu Surabaya) sebelum terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada 7.24 pagi (waktu Surabaya). Pesawat yang membawa lebih 160 penumpang itu dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi. Operasi mencari dan menyelamat mangsa nahas pesawat itu mengambil masa hampir dua bulan.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map