LONDON: Perdana Menteri Britain, Cik Liz Truss, meletak jawatan semalam (20 Okt) selepas program ekonominya mencetuskan kejutan pasaran selain menyebabkan Parti Konservatif berpecah hanya enam minggu selepas dilantik. Pemilihan pucuk kepimpinan negara akan selesai minggu depan. Beliau kini menjadi perdana menteri paling singkat dalam sejarah Britain. Encik George Canning sebelum ini memegang rekod berkenaan apabila berkhidmat selama 119 hari pada tahun 1827 kerana meninggal dunia. Bercakap di luar pejabatnya di Downing Street, Cik Truss mengakui beliau tidak dapat menunaikan janji yang dibuatnya ketika bertanding sebagai pemimpin Konservatif, sekali gus kehilangan kepercayaan daripada partinya. "Saya akui memandangkan situasi itu saya tidak dapat menyampaikan mandat yang mana saya dipilih oleh Parti Konservatif. "Oleh itu, saya telah bercakap dengan Raja untuk memberitahu beliau bahawa saya meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Konservatif," katanya. "Pagi ini saya bertemu Pengerusi Jawatankuasa 1922, Sir Graham Brady. "Kami bersetuju bahawa akan ada pemilihan kepimpinan yang akan diselesaikan dalam minggu depan. "Ini akan memastikan bahawa kami kekal dalam laluan untuk melaksanakan rancangan fiskal dan mengekalkan kestabilan ekonomi dan keselamatan negara kita. "Saya akan kekal sebagai perdana menteri sehingga pengganti dipilih. Terima kasih," katanya. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg