Topik diikuti
Pergi ke BHkuLonjakan undi masyarakat Arab gugat Netanyahu, bakal jadi penentu
Blok Netanyahu dahului selepas 50% undi dikira
Lonjakan undi masyarakat Arab gugat Netanyahu, bakal jadi penentu
BAITULMAKDIS: Kebangkitan luar biasa pengundi Arab dalam pilihan raya Israel pada 27 Oktober bukan sahaja menggugat kedudukan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, malah berpotensi menjadikan parti Arab sebagai penentu siapa yang bakal menerajui pemerintah negara itu.
Keputusan tinjauan selepas pengundian menunjukkan dua parti utama Arab, Senarai Bersama (Joint List) dan Senarai Arab Bersatu (Ra’am), dijangka memenangi antara 17 dengan 18 kerusi daripada keseluruhan 120 kerusi Parlimen Israel, atau Knesset.
Jika angka itu disahkan, ia merupakan pencapaian terbesar parti Arab dalam sejarah pilihan raya Israel, sekali gus memberi mereka pengaruh penting dalam pembentukan pemerintah campuran.
Perkembangan itu berlaku ketika Encik Netanyahu dan gabungan sayap kanannya berdepan tentangan sengit daripada blok pembangkang yang diterajui bekas Ketua Turus Tentera Israel, Gadi Eisenkot.
Selepas 50.1 peratus kertas undi dikira, blok Netanyahu dijangka memenangi 56 daripada 120 kerusi di Parlimen, berbanding 49 kerusi bagi blok pembangkang – sekali gus gagal mencapai majoriti mudah 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk pemerintah.
Keadaan itu membuka ruang kepada parti Arab untuk memainkan peranan sebagai penentu kuasa, khususnya sekiranya blok pembangkang memerlukan sokongan mereka bagi menamatkan pemerintahan Encik Netanyahu.
Sekiranya tidak ada mana-mana blok berjaya meraih 61 kerusi, seseorang calon boleh memerintah tanpa majoriti dengan bergantung kepada sokongan ad hoc atau mengikut keperluan daripada ahli Parlimen lain.
Namun, keputusan rasmi masih belum diumumkan dan proses pengiraan undi dijangka mengambil masa beberapa hari sebelum rundingan pembentukan pemerintah dapat dimulakan.
Antara perkembangan paling mengejutkan ialah peningkatan mendadak penyertaan pengundi Arab, yang membentuk kira-kira 21 peratus daripada 10 juta penduduk Israel.
Menurut laporan Channel 12 Israel, kadar keluar mengundi dalam kalangan masyarakat Arab dianggarkan mencecah 80 peratus, mengatasi rekod yang dicatatkan pada 1999.
Secara keseluruhan, kadar keluar mengundi mencapai 77.7 peratus, tertinggi sejak 1999, menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Israel.
Peningkatan itu mencerminkan perubahan sikap masyarakat Arab yang sebelum ini sering memulaukan pilihan raya kerana beranggapan penyertaan mereka tidak mampu mengubah dasar pemerintah terhadap rakyat Palestin.
Sebahagian besar masyarakat Arab Israel merupakan keturunan rakyat Palestin yang kekal di tanah kelahiran mereka selepas perang Arab-Israel pada 1948.
Walaupun memiliki kewarganegaraan Israel dan hak mengundi, mereka terus berdepan dakwaan diskriminasi dalam perumahan, pembahagian dana pemerintah, pembangunan masyarakat dan peluang ekonomi.
Kemarahan terhadap dasar Encik Netanyahu di Tebing Barat dan Gaza, selain layanan terhadap masyarakat Arab di Israel, dipercayai menjadi antara faktor utama yang mendorong mereka keluar mengundi secara besar-besaran.
Ketua Ra’am, Mansour Abbas, berkata keputusan itu membuktikan masyarakat Arab berjaya mengubah perasaan kecewa dan putus asa kepada harapan untuk membawa perubahan politik.
Menurut beliau, keutamaan partinya ialah memastikan pemerintah Encik Netanyahu dapat digantikan melalui pembentukan gabungan baru.
“Saya mahu memastikan wujud peluang untuk membentuk sebuah pemerintah,” katanya kepada Channel 12.
Bagaimanapun, Encik Abbas mengakui keputusan awal belum menunjukkan mana-mana gabungan mampu membentuk pemerintah.
“Dengan angka yang ada sekarang, belum ada pemerintah yang boleh dibentuk,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa kedua-dua blok utama telah menghubungi partinya sebelum dan selepas pilihan raya.
Meskipun parti-parti Arab kini memiliki pengaruh lebih besar, usaha menyertai pemerintah campuran bukan sesuatu yang mudah.
Sebahagian besar parti politik Yahudi Israel keberatan bergantung kepada sokongan wakil rakyat Arab, terutama kerana perbezaan pendirian mengenai isu Palestin dan identiti Israel sebagai negara Yahudi.
Ra’am pernah mencipta sejarah apabila menyertai pemerintah campuran pimpinan Naftali Bennett pada 2021, yang berjaya menyingkirkan Encik Netanyahu daripada kuasa.
Namun, pemerintah itu hanya bertahan kira-kira setahun sebelum tumbang, sekali gus membuka laluan kepada Encik Netanyahu kembali memerintah dengan sokongan parti-parti berhaluan kanan.
Mantan Duta Israel, Encik Alon Pinkas, berkata parti pembangkang kini berdepan dilema kerana sebahagian pemimpin mereka sebelum ini berjanji tidak akan membentuk pemerintah bersama parti Arab.
Menurut beliau, pendirian sedemikian boleh menyukarkan usaha Encik Eisenkot mendapatkan sokongan mencukupi untuk membentuk pemerintah.
“Orang Arab tidak boleh terus diketepikan dan hanya diperlukan apabila undi mereka menjadi penting,” katanya kepada Al Jazeera.
Encik Pinkas menjelaskan bahawa parti-parti Arab juga dijangka mengemukakan tuntutan politik yang mungkin sukar diterima oleh gabungan parti Yahudi.
Sepanjang kempen pilihan raya, Encik Netanyahu turut dikecam kerana menggunakan peningkatan pengundi Arab sebagai amaran kepada penyokong sayap kanan.
Beliau menyiarkan gambar barisan panjang pengundi di kawasan Arab dan memberi amaran bahawa kegagalan penyokongnya keluar mengundi boleh membawa kepada pembentukan pemerintah yang disokong pemimpin Arab.
“Jika kita tidak bangkit sekarang, kita akan mendapati diri kita diperintah pemerintah Mansour Abbas dan Ahmad Tibi,” katanya.
Encik Netanyahu turut menuduh masyarakat Arab cuba “mencuri pilihan raya”, namun pemangku Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat, Dean Livne, berkata tiada laporan mengenai penyelewengan besar-besaran.
Pemimpin gabungan parti Arab, Encik Yousef Jabareen, mengecam kenyataan Encik Netanyahu sebagai cubaan menghasut kebencian dan mempertikaikan kesahihan undi masyarakat Arab.
Menurut beliau, masyarakat Arab kini berpeluang menghukum pemerintahan Encik Netanyahu melalui peti undi.
Sementara itu, Al Jazeera, menyifatkan pilihan raya berkenaan sebagai detik penting bagi masa depan rakyat Palestin yang memiliki kewarganegaraan Israel.
Menurut Al Jazeera, penyertaan kali ini turut melibatkan pengundi yang sebelum ini memulaukan pilihan raya kerana hilang keyakinan terhadap kemampuan sistem politik mengubah kehidupan mereka.
Pilihan raya kali ini turut memperlihatkan pertembungan dua hala tuju politik Israel.
Encik Netanyahu menawarkan kesinambungan dasar nasionalis dan pengukuhan penguasaan Israel di Tebing Barat serta Gaza.
Sebaliknya, blok Eisenkot berjanji mempertahankan demokrasi, memperbaiki hubungan antarabangsa dan menangani keganasan pelampau Israel terhadap rakyat Palestin.
Pembangkang turut menuntut siasatan bebas terhadap kegagalan pemerintah menghalang serangan 7 Oktober, selain menentang rancangan Encik Netanyahu merombak sistem kehakiman.
Bagaimanapun, persoalan terbesar kini bukan sekadar parti mana memperoleh kerusi terbanyak, tetapi sama ada pemimpin politik Yahudi bersedia menerima sokongan parti Arab untuk membentuk pemerintah.
Sekiranya keputusan tinjauan disahkan, masyarakat Arab yang selama ini sering dipinggirkan dalam politik Israel mungkin menjadi kuasa penting dalam menentukan masa depan Encik Netanyahu.
Buat pertama kali dalam tempoh yang panjang, undi masyarakat Arab bukan sekadar suara bantahan, malah berpotensi menentukan siapa yang akan memerintah Israel. – Agensi berita.
