Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maghribi batal ibadah korban kali keempat akibat krisis kemarau

Mar 10, 2025 | 5:30 AM
Seorang peniaga menjual manisan di sebuah pasar sempena hari pertama Ramadan di Rabat, Maghribi, pada 2 Mac. 
Seorang peniaga menjual manisan di sebuah pasar sempena hari pertama Ramadan di Rabat, Maghribi, pada 2 Mac.  - Foto EPA-EFE

RABAT: Buat kali keempat dalam sejarahnya, Maghribi mengambil keputusan membatalkan ibadah korban sempena Aidiladha susulan krisis kemarau berpanjangan yang menjejaskan ekonomi negara.

Keputusan itu diumumkan sendiri oleh Raja Mohammed VI pada 26 Februari dengan menegaskan bahawa keadaan semasa menuntut tindakan luar biasa bagi mengurangkan kesan buruk terhadap rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Dalam arahan terkininya, Raja Mohammed VI menekankan bahawa ibadah korban merupakan sunah yang dituntut dalam Islam, tetapi hanya jika ia mampu dilaksanakan tanpa menjejas kesejahteraan rakyat.

“Melaksanakan ibadah ini dalam keadaan sukar seperti sekarang akan membawa kesan buruk kepada sebahagian besar rakyat kita, terutama mereka yang berpendapatan rendah,” ujarnya dalam satu ucapan yang disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Encik Ahmed Taoufiq.

Sejarah Maghribi batalkan Ibadah Korban

Ini bukan kali pertama Maghribi mengambil keputusan membatalkan ibadah korban.

Kali pertama langkah diambil ialah pada 1963, ketika negara itu menghadapi konflik ‘Perang Pasir’ dengan Algeria yang menyebabkan kesan ekonomi besar terhadap rakyat.

Kemudian, pada 1981 dan 1996, Maghribi sekali lagi membatalkan ibadah korban akibat kemarau teruk yang menjejas ternakan dan bekalan makanan negara.

Keputusan itu dilihat sebagai satu keperluan dalam usaha memastikan kestabilan ekonomi rakyat yang semakin terhimpit akibat bencana alam tersebut.

Menurut laporan rasmi Kementerian Pertanian Maghribi, negara itu kini mengalami tahun ketujuh kemarau secara berturut-turut, dengan limpahan hujan 53 peratus lebih rendah dari purata 30 tahun terakhir.

Krisis itu menyebabkan jumlah ternakan susut 38 peratus sejak 2016, memberi kesan besar kepada bekalan daging tempatan.

Menteri Pertanian, Encik Ahmed Bouari, dalam satu sidang media mendedahkan bahawa jumlah lembu yang disembelih di Maghribi kini merosot daripada 230,000 ekor kepada hanya 150,000 ekor; manakala bekalan air di empangan negara hanya tinggal 4.6 bilion meter padu dengan kadar pengisian 28 peratus.

Bagi menangani isu tersebut, kerajaan telah mempercepat langkah mengimport ternakan dari luar negara, termasuk 124,000 ekor biri-biri, 21,800 lembu dan lebih 700 tan daging merah sejak awal 2025.

“Import menjadi langkah segera untuk memastikan bekalan daging mencukupi dan menstabilkan harga di pasaran tempatan,” kata Encik Bouari.

Dengan jumlah ternakan yang kian merosot, kerajaan Maghribi telah mengambil langkah agresif dalam mengimport daging merah serta ternakan dari beberapa negara termasuk Sepanyol, Brazil, Uruguay, Perancis, Romania dan Portugal.

Menurut Pejabat Perdagangan Maghribi, jumlah import haiwan ternakan dan daging telah meningkat kepada 110,000 tan menjelang November 2024, berbanding 60,000 tan pada 2023.

Import daging itu telah menyebabkan bil import negara melonjak kepada 4.8 bilion MAD ($642 juta), peningkatan 83 peratus berbanding 2024.

Namun, langkah itu tetap dianggap perlu bagi mengawal harga di pasaran domestik.

Harga daging tempatan kini antara 85 MAD dengan 89 MAD ($10 hingga $12) bagi setiap kilogram, manakala daging import dari Brazil dijual pada harga lebih rendah iaitu 70 MAD hingga 75 MAD setiap kilogram.

Bagi memastikan mutu daging import, Pejabat Keselamatan Makanan Nasional (ONSSA) telah memberi kelulusan kepada syarikat untuk membawa masuk daging segar, beku, dan sejuk dari negara yang memenuhi standard kesihatan serta pensijilan halal.

Namun, tidak semua rakyat menerima keputusan itu dengan baik.

Sebahagian masyarakat Maghribi menyuarakan kebimbangan terhadap mutu daging import, terutama dari negara yang tidak mempunyai reputasi tinggi dalam industri penternakan halal.

Di sebalik keputusan membatalkan ibadah korban, rakyat Maghribi masih berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.

Kadar inflasi yang tinggi serta lonjakan harga makanan menyebabkan ramai yang rasakan bebanan hidup semakin berat.

Menurut laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), Maghribi sebelum ini pernah mengalami kesan ekonomi besar akibat kemarau, dengan defisit fiskal mencecah AS$1 bilion ($1.34 bilion) pada 1981 serta krisis bekalan bijirin yang mengakibatkan kerajaan terpaksa berbelanja AS$530 juta pada 2000.

Keadaan semasa tidak jauh berbeza, dengan kerajaan kini bergantung sepenuhnya kepada import bagi memenuhi permintaan daging tempatan.

“Kerajaan berusaha memastikan rakyat tidak terbeban dengan harga tinggi, tetapi kita perlu melihat kesan jangka panjang kebergantungan import terhadap kestabilan ekonomi negara, kata seorang penganalisis ekonomi tempatan.

Antara Tuntutan Agama dengan Realiti Kehidupan

Keputusan Raja Mohammed VI itu jelas menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

Bagi sesetengah pihak, ia dilihat sebagai langkah bertanggungjawab dalam memastikan rakyat tidak terbeban.

Namun bagi pihak lain, pembatalan ibadah korban memberi kesan psikologi kerana ia adalah sebahagian daripada tradisi keagamaan yang sangat bermakna.

Seorang penduduk Rabat yang mahu dikenali sebagai, Encik Youssef, 45 tahun, menyatakan beliau menerima keputusan itu dengan terbuka, tetapi tetap berharap kerajaan mencari jalan penyelesaian jangka panjang.

“Saya memahami keadaan semasa dan saya menghormati keputusan Raja. Tetapi kita perlu fikirkan bagaimana untuk mengelakkan perkara ini berulang pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, seorang petani dari kawasan pedalaman, Encik Hassan, 52 tahun, melahirkan kebimbangan mengenai masa depan industri penternakan tempatan.

“Petani kecil seperti saya kehilangan sumber pendapatan utama. Kerajaan perlu ada pelan lebih baik untuk membantu penternak tempatan mengatasi krisis ini,” ujarnya.

Perlu Huraian Jangka Panjang

Dengan kemarau berpanjangan dan tekanan ekonomi yang semakin meningkat, keputusan Raja Mohammed VI untuk membatalkan ibadah korban bukan sekadar langkah sementara, malah satu isyarat bahawa Maghribi sedang menghadapi cabaran besar dalam sektor pertanian dan penternakan.

Walaupun langkah import ternakan dan pengecualian cukai membantu menstabilkan pasaran, kebergantungan kepada import tetap menimbulkan persoalan mengenai daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Bagi rakyat Maghribi, 2025 sekali lagi mengingatkan mereka tentang keperluan untuk mencari keseimbangan antara tuntutan agama dengan realiti ekonomi – sesuatu yang semakin menjadi cabaran dalam menghadapi perubahan iklim sejagat.

“Kami memahami kepentingan ibadah korban, tetapi menjaga kelangsungan hidup rakyat juga satu tanggungjawab,” kata Raja Mohammed VI. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg