
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, kini sedang menjalani beberapa lagi siri pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN).
IJN dalam kenyataannya, berkata pemeriksaan berkenaan akan dilengkapkan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Katanya, susulan prosedur operasi standard (SOP), tiada pelawat dibenarkan mengunjungi Mahathir.
Tun Dr Mahathir dimasukkan ke IJN petang kelmarin bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
IJN dalam satu kenyataan berkata Ahli Parlimen Langkawi berusia 96 tahun itu tiba di IJN kira-kira 7 malam.
Pada 2018, Tun Dr Mahathir dirawat kerana jangkitan di dada juga di IJN dan turut dimasukkan untuk rawatan dan pemantauan pada Ogos 2016.
Beliau pernah mengalami serangan jantung ringan pada 2006.
Tun Dr Mahathir juga telah menjalani dua pembedahan pintasan, yang pertama di Hospital Kuala Lumpur pada 1989 dan yang kedua di IJN pada 2007.
Dalam masa yang sama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendoakan kesembuhan buat Tun Dr Mahathir.
Datuk Seri Najib dalam satu hantaran di Facebook malam kelmarin berkata, semoga urusan Mahathir di IJN dipermudahkan.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, turut mendoakan kesihatan untuk Mahathir.
"Saya dimaklumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke IJN.
"Saya mendoakan semoga urusan beliau di IJN dipermudahkan dan diberi kesihatan oleh Allah swt," katanya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg