LANGKAWI: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sekali lagi tampil bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi kerana beranggapan tugasnya masih belum selesai, ketinggalan di belakang tiga pesaingnya.
Dalam kiraan tidak rasmi setakat 10 malam tadi sebelum akhbar ini dicetak, Dr Mahathir hanya mendapat 222 undi setakat pada 8.30 malam.
Calon Barisan Nasional (BN) Armishah Siraj mendahului dengan 1,693 undi diikuti rapat calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Suhaimi Abdullah dengan 1,400 undi.
Calon Pakatan Harapan (PH) Zabidi Yahya pula memperoleh 269 undi.
Dr Mahathir sebelum ini berkata, pilihan raya kali ini mungkin menjadi gelanggang terakhirnya bertanding memandangkan usianya yang sudah lanjut.
Beliau, 97 tahun, mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14 ketika bersama Pakatan Harapan (PH).
Kali ini, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu bertanding sebagai calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mantan Perdana Menteri itu berkata, walaupun usianya mencecah 97 tahun, tenaga dan pemikirannya masih berfungsi dengan baik.
Dr Mahathir berkata beliau terus bertanding demi mengembalikan pentadbiran negara kepada parti yang bersih, tanpa salah guna kuasa dan korupsi.
Dr Mahathir juga ditukil sebagai berkata beliau bukan tidak mahu melepaskan kawasan Langkawi tetapi hanya mahu menggantikan kerajaan yang lebih baik di bawah pentadbirannya jika menang dalam pilihan raya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg