PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 13 lagi mantan anggota Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) secara rasmi menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Bekas anggota Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Encik Armin Baniaz Pahamin, mengesahkan perkara itu menerusi catatan Facebook pada Jumaat.
"Semua G13 selamat mendaftar keahlian untuk meneruskan perjuangan politik mereka di bawah Parti Perkasa Bumiputera Malaysia (Putra).
"Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang-orang, parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan Melayu," katanya.
Dr Mahathir sebelum ini menerima undangan Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali, untuk menyertai parti berusia empat tahun itu sebagai penasihatnya selepas majlis tertinggi parti memutuskan perkara itu pada mesyuaratnya pada 18 Februari.
Mantan perdana menteri itu baru-baru ini mengumumkan keluar daripada Pejuang, parti yang ditubuhkannya pada 2020, bersama anggota berikutan keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air.
Beliau pernah menjadi pengerusi parti sehingga beliau meletakkan jawatan pada Disember 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg