SEOUL: Korea Selatan kembali menyaksikan satu lagi episod penting dalam krisis politiknya apabila Mahkamah Perlembagaan negara itu memutuskan untuk membatalkan pemecatan Encik Han Duck-soo, sekaligus memulihkan semula kuasanya sebagai Pemangku Presiden selepas hampir tiga bulan digantung tugas.
Encik Han sebelum ini mengambil alih jawatan Pemangku Presiden daripada Presiden Yoon Suk Yeol, yang digantung akibat mengisytiharkan undang-undang tentera secara mengejut pada Disember 2024. Keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 24 Mac menyaksikan Encik Han kembali serta-merta ke jawatan tersebut.
“Saya amat bersyukur atas keputusan yang bijaksana oleh Mahkamah Perlembagaan,” kata Encik Han dalam ucapan yang disiarkan secara langsung. “Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada anggota Kabinet yang terus bekerja keras sepanjang saya digantung.”
Encik Han menambah bahawa pentadbirannya kini akan memberi tumpuan kepada isu-isu antarabangsa serta memastikan Korea Selatan terus berkembang dalam era ketidaktentuan geopolitik.
Keputusan pada 24 Mac menyaksikan tujuh daripada lapan hakim menolak usul pemecatan Encik Han. Lima hakim berpendapat bahawa walaupun usul itu sah, ia tidak cukup kuat untuk menggugurkan Encik Han kerana beliau tidak melanggar perlembagaan atau undang-undang secara jelas.
Dua hakim pula menyatakan bahawa usul itu tidak sah dari awal kerana tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli parlimen seperti yang ditetapkan. Hanya seorang hakim yang menyokong pemecatan tersebut.
Encik Han, 75 tahun, telah berkhidmat di bawah lima presiden – baik dari kem konservatif mahupun liberal – dan dianggap sebagai tokoh pentadbiran yang mampu melangkaui batas parti politik.
Walaupun begitu, parlimen yang dikawal oleh pembangkang tetap menyalahkan beliau kerana tidak menghalang keputusan Presiden Yoon untuk mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu, satu tindakan yang mencetuskan kemelut politik terbesar negara dalam dekad terkini.
Tindakan Encik Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera, walaupun hanya bertahan selama enam jam, telah menimbulkan kekacauan dalam negara dan mencetuskan reaksi bimbang daripada sekutu antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, yang ketika itu masih dipimpin oleh bekas Presiden Joe Biden.
Undang-undang tentera itu ditolak oleh Parlimen yang melanggar sekatan keselamatan dan mengundi untuk membatalkannya.
Ketika proses semakan mahkamah terhadap Presiden Yoon dan Encik Han sedang berjalan, Menteri Kewangan Encik Choi Sang-mok telah dilantik sebagai Pemangku Presiden.
Parlimen turut memecat Encik Han atas dakwaan enggan melantik tiga hakim tambahan ke Mahkamah Perlembagaan dan tidak menyokong rang undang-undang khas yang mensasarkan siasatan ke atas Encik Yoon dan Wanita Pertama, Cik Kim Keon Hee.
Dalam satu-satunya sesi pendengaran mahkamah pada 19 Februari, Encik Han menafikan sebarang pembabitan dalam episod undang-undang tentera dan menggesa agar usul pemecatannya dibatalkan.
Sementara itu, keputusan Mahkamah Perlembagaan berkenaan pemecatan Presiden Yoon dijangka diumumkan dalam beberapa hari lagi. Encik Yoon juga kini berdepan perbicaraan jenayah berasingan atas dakwaan memimpin satu pemberontakan melalui tindakan mengisytiharkan undang-undang tentera.
Sekiranya Encik Yoon disingkirkan secara rasmi, Korea Selatan perlu mengadakan pilihan raya presiden baharu dalam tempoh 60 hari.
“Kami akan terus bertindak dengan penuh tanggungjawab demi kestabilan negara dan memastikan Korea Selatan kekal sebagai negara yang berdaya saing dan dihormati di pentas antarabangsa,” ujar Encik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg