JAKARTA: Mahkamah Agung (MA) Indonesia telah meluluskan perubahan peraturan mengenai umur calon dalam pilihan raya wilayah, kata mahkamah pada 30 Mei.
Berita itu timbul di tengah-tengah spekulasi anak lelaki Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, berusia 29 tahun, Encik Kaesang Pangarep, sedang berusaha bertanding dalam pilihan raya Jakarta yang akan datang.
Satu petisyen difailkan di mahkamah pada April, menggesa peraturan itu diubah supaya calon boleh berumur 30 tahun apabila mereka dilantik, bukannya pada tarikh suruhanjaya pilihan raya mula mengesahkan penyertaan mereka dalam pilihan raya.
Jurucakap mahkamah, Encik Suharto berkata bahawa mahkamah telah meluluskan perubahan itu, yang difailkan oleh Parti Garuda, sebuah kumpulan yang tidak dikenali tetapi sejajar dengan gabungan pemerintah.
“Ini supaya Indonesia boleh dipimpin oleh anak-anak muda,” kata jurucakap Garuda, Encik Teddy Gusnady.
Keputusan mengejut itu dibuat apabila anak bongsu Encik Jokowi telah dinaikkan pangkat sebagai calon berpotensi Timbalan Gabenor Jakarta, dalam pilihan raya wilayah yang akan diadakan November 2024.
Encik Kaesang, yang terkenal dengan perniagaan pisang goreng dan pelantikan baru-baru ini sebagai ketua Parti Solidariti Indonesia (PSI), tidak berusia 30 tahun sehinggalah pada Disember.
Hantaran di edia sosial baru-baru ini telah memaparkan poster pilihan raya olok-olok Encik Budisatrio Djiwandono, anak saudara kepada bakal presiden, Encik Prabowo Subianto, bersama Encik Kaesang.
Pegawai parti Gerindra dan PSI tidak segera menjawab soalan mengenai pencalonan Encik Kaesang, tetapi poster itu dikongsi di laman Instagram rasmi Gerindra oleh pegawai tertinggi Gerindra pada 29 Mei.
Keputusan mahkamah itu berikutan kebimbangan mengenai tahap politik dinasti dalam demokrasi ketiga terbesar di dunia dan bertujuan menjejaskan integriti mahkamah tertingginya.
Pada Februari, Encik Prabowo, mantan komander tentera, memenangi Pilihan Raya Presiden bersama pasangannya, Encik Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Encik Jokowi.
Pencalonan Encik Gibran dibolehkan hasil perubahan kontroversi undang-undang pilihan raya, semakan yang turut dicadangkan oleh Parti Garuda.
Tetapi pakar undang-undang menyatakan bahawa untuk Encik Kaesang bertanding sebagai Timbalan Gabenor di Jakarta, perubahan perlu dibuat bukan sahaja kepada peraturan pilihan raya bahkan kepada undang-undang pilihan raya wilayah. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg