SEOUL: Mahkamah Perlembagaan Korea dijangka menangguhkan pengumuman keputusannya mengenai pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol sehingga awal April, menurut laporan media tempatan News1 pada 26 Mac.
Keputusan yang dinanti-nantikan ini sepatutnya diumum selepas sesi pendengaran terakhir kes itu ditutup pada 25 Februari lalu.
Lapan orang hakim telah bersidang hampir setiap hari sejak kes ini dibawa kepada mereka pada 14 Disember, namun tarikh pengumuman keputusan masih belum ditetapkan - satu langkah yang dianggap luar biasa dalam sejarah kehakiman Korea.
Sejak itu, Mahkamah telah membuat enam keputusan berkaitan pemecatan, termasuk kes terbaru melibatkan Perdana Menteri Han Duck-soo pada 24 Mac. Dalam kes itu, lima hakim menolak usul pemecatan oleh Parlimen, seorang menyokong, manakala dua hakim memilih untuk membatalkan usul tersebut sama sekali.
Kes Encik Han merupakan keputusan pertama berkaitan langsung dengan pengisytiharan darurat tentera oleh Presiden Yoon pada 3 Disember.
Sehingga jam 2 petang waktu tempatan pada 26 Mac, Mahkamah masih belum memberikan sebarang petunjuk bila keputusan berhubung Presiden Yoon akan diumumkan.
Secara tradisinya, Mahkamah akan memaklumkan dua hingga tiga hari lebih awal sebelum pengumuman keputusan, atas faktor keselamatan dan persediaan.
Untuk minggu keempat berturut-turut, 28 Mac terus disebut sebagai tarikh paling berpotensi bagi pengumuman keputusan, sekiranya Mahkamah memilih untuk mengumumkannya dalam minggu ini.
Namun, ketidaktentuan terus menyelubungi apabila Mahkamah turut menjadualkan 40 aduan perlembagaan lain untuk diputuskan pada 27 Mac, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kes Presiden Yoon masih menjadi keutamaan utama.
“Kami masih menunggu keputusan, dan rakyat perlu diberi jawapan dengan jelas sama ada Presiden Yoon akan terus memimpin atau tidak,” kata Naib Pengerusi Parti Demokratik Korea, Encik Kim Seung-ho, dalam satu kenyataan.
Mahkamah sebelum ini berjanji untuk mengutamakan kes Presiden Yoon berbanding kes lain sejak 16 Disember lalu.
Namun sehingga kini, keputusan itu masih belum dimuktamadkan, mencetuskan spekulasi bahawa Mahkamah mungkin hanya akan mengumumkannya selepas pilihan raya kecil pada 2 April di beberapa kawasan.
Beberapa penganalisis undang-undang turut menjangkakan bahawa keputusan mungkin diumumkan pada 3 atau 4 April, memandangkan kekangan masa yang dihadapi Mahkamah apabila dua hakim – Ketua Hakim Sementara Moon Hyung-bae dan Hakim Lee Mi-son – dijadualkan menamatkan penggal perkhidmatan mereka pada 18 April.
Malah, kekosongan kerusi hakim kesembilan di Mahkamah turut menambah kerumitan dalam proses kehakiman untuk membuat keputusan.
Situasi ini mengingatkan kepada kes pemecatan bekas Presiden Park Geun-hye pada tahun 2017, apabila keputusan dibuat hanya tiga hari sebelum ketua hakim ketika itu bersara.
Seorang pensyarah undang-undang di Seoul National University, Prof. Jang Min-soo berkata: “Mahkamah kini berada dalam tekanan masa dan politik. Namun, ketelusan dan ketegasan dalam keputusan ini sangat penting demi kestabilan demokrasi Korea.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg