Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah Thai singkir Paetongtarn Shinawatra dari jawatan PM

Aug 29, 2025 | 8:58 PM
Perdana Menteri Thailand yang digantung tugasnya, Cik Paetongtarn Shinawatra, tiba di Rumah Kerajaan Bangkok pada 29 Ogos untuk menyaksikan keputusan Mahkamah Perlembagaan.
Perdana Menteri Thailand yang digantung tugasnya, Cik Paetongtarn Shinawatra, tiba di Rumah Kerajaan Bangkok pada 29 Ogos untuk menyaksikan keputusan Mahkamah Perlembagaan. - Foto REUTERS

Bangkok (Thailand) - Sebuah mahkamah di Thailand telah menyingkirkan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, susulan kes berkait tindakan beliau dalam menangani isu pertikaian sempadan dengan Kemboja.

Penyingkiran itu berpotensi menjerumuskan Thailand ke dalam satu tempoh pergolakan, dan merupakan satu lagi tamparan hebat kepada dinasti politik Shinawatra.

Cik Paetongtarn, anak mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, telah digantung tugas pada Julai 1 oleh makhamah yang merangkumi sembilan hakim, lapor The Straits Times.

Beliau dikatakan melanggar etika semasa pertikaian diplomatik dengan Kemboja, dan membiarkan rakaman panggilan telefon antara beliau dengan mantan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Sen, tersebar pada 15 Jun.

Dalam panggilan tersebut, Cik Paetongtarn didapati merayu kepada Encik Hun Sen supaya menyelesaikan ketegangan antara Thailand dengan Kemboja, sambil membuat perjanjian untuk memenuhi permintaannya.

Cik Paetongtarn turut menggunakan nada suara yang lembut dan memanggil Encik Hun Sen “uncle”, sambil menghina tentera Thailand dan menganggap salah satu komander tenteranya sebagai “pihak lawan”.

Beliau meminta maaf atas perbuatannya tetapi menyatakan bahawa pilihan katanya semata-matanya strategi rundingan. Cik Paetongtarn juga tidak sedar panggilannya telah dirakam.

Rakaman selama 17 minit itu yang tersebar mencetuskan tunjuk perasaan yang menggesa Cik Paetongtarn meletakkan jawatan.

Cik Paetongtarn, 39 tahun, merupakan Perdana Menteri Thailand kedua disingkirkan sejak Pilihan Raya Umum Thailand 2023.

Beliau menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2024 selaku orang baru dalam politik dan pemimpin termuda kerajaan Thailand.

Ini setelah pendahulunya dan sekutu keluarga, Encik Shinawatra Srettha Thavisin, dipecat daripada jawatan Perdana Menteri oleh Mahkamah Perlembagaan kerana juga melanggar etika.

Namun, jawatan Cik Paetongtarn mula terjejas sebelum konflik bersama Kemboja mula. Beliau mengendalikan ekonomi Thailand dengan lemah sehingga ketinggalan dibandingkan dengan negara jiran, dan seterusnya semakin dibebani oleh tarif pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Keadaan politik yang huru-hara turut melewatkan pelancaran langkah dasar, seperti merendahkan kos pengangkutan awam dan perubahan besar kepada langkah dasar ekonomi.

Proses undian parlimen untuk melantik perdana menteri baru diperlukan susulan penyingkiran Cik Paetongtarn.

Pemangku Perdana Menteri, Encik Phumtham Wechayachai, tidak layak memegang jawatan tersebut kerana beliau tidak mendaftarkan diri sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg