COLOMBO: Mahkamah Tinggi Sri Lanka telah mengeluarkan notis kepada mantan presiden Gotabaya Rajapaksa (gambar), untuk hadir di mahkamah pada 1 Ogos, lapor media setempat, Rabu lalu.
Ia berkaitan dengan satu petisyen yang mengaitkannya dengan krisis ekonomi di negara itu, menurut media Newsfirst.
Satu panel lima hakim Mahkamah Tinggi mengambil keputusan untuk menamakan Encik Rajapaksa sebagai responden privet kepada permohonan itu, tambah media itu lagi.
Encik Rajapaksa melarikan diri dari Sri Lanka pada 13 Julai ke Maldives dan berada di Singapura keesokannya.
Pihak berkuasa Singapura dilaporkan telah melanjutkan tempoh pas lawatan jangka pendek 14 hari beliau di sini.
Para peguam di Sri Lanka berkata Encik Rajapaksa tidak perlu berada di mahkamah secara peribadi dan boleh tampil menerusi para peguamnya.
Sementara itu negara tersebut masih mengekalkan undang-undang darurat yang dikeluarkan Presiden Ranil Wickremesinghe, sedang polis memberkas sekurang-kurangnya tiga penganjur bantahan di jalan raya yang memaksa keluar Encik Rajapaksa.
Pemerintah Sri Lanka bersedia menyokong bantahan awam yang tidak ganas, namun tidak akan menerima sebarang bentuk keganasan yang menjejas demokrasi, kata Perdana Menteri baru yang dilantik, Encik Dinesh Gunawardena, kepada penggubal undang-undang, Rabu lalu. - Agensi berita.