PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan tujuh individu yang mencabar Kementerian Kesihatan melarang merokok di kedai makan.
Satu panel tiga orang hakim, yang diketuai hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, menyampaikan keputusan sebulat suara menolak permohonan itu pada Selasa.
Panel hakim itu memutuskan bahawa tujuh individu berkenaan – Mohd Hanizam Yunus, 56 tahun; Zulkifli Mohamad, 61 tahun; Mohd Laisani Dollah, 50 tahun; Mohd Sufian Awaludin, 39 tahun; Ridzuan Muhammad Noor, 57 tahun; Mohd Yazid Mohd Yunus, 52 tahun; dan Yuri Azhar Abdollah, 44 tahun – gagal memenuhi syarat yang diperlukan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Menurut peruntukan, pemohon perlu menampilkan persoalan undang-undang yang baru, yang mempunyai kepentingan awam yang dibangkitkan kali pertama.
“Kami menolak permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu, dan mengarahkan mereka membayar kos guaman RM30,000 ($8,675) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata Datuk Zabariah.
Dengan keputusan itu, percubaan ketujuh-tujuh individu berkenaan untuk mencabar larangan merokok di kedai makan oleh Kementerian Kesihatan yang telah berlarutan selama lima tahun, kini berakhir.
Pada 31 Disember 2018 tujuh lelaki itu yang menubuhkan persatuan dikenali sebagai Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) memohon satu deklarasi bahawa keputusan KKM untuk melarang merokok di kedai makan adalah tidak berperlembagaan.
Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makanan dan kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi seperti kawasan merokok atau memasukkan peruntukan di bawah larangan merokok bagi pengusaha kedai makan untuk menyediakan kawasan larangan merokok mereka sendiri.
KKM mengenakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Januari 2019.
Pada 29 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan tujuh individu berkenaan untuk mendapatkan perintah bagi membatalkan keputusan melarang merokok di kedai makan, dan pada 23 November 2022 pula Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian pada Selasa, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tujuh individu berkenaan menggesa mahkamah membenarkan rayuan, dan menampilkan tiga persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Salah satu persoalanan yang dibangkitkan adalah sama ada pindaan kepada Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau bagi melarang perbuatan merokok di kedai makan termasuk dalam kawasan tertutup yang dilengkapi dengan pendingin hawa dan kawasan terbuka, adalah bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili KKM berhujah bahawa larangan merokok di kedai makan memberi kelebihan kepada orang awam, kerana orang ramai menyokong keputusan itu. – Agensi Berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg