SYDNEY: Raja Charles secara rasmi diisytiharkan sebagai ketua negara Australia dan New Zealand di upacara yang berlangsung di kedua-dua di ibu kota negara tersebut semalam.
Di New Zealand, pengisytiharan Charles sebagai raja, mengambil alih daripada ibunya, Ratu Elizabeth, yang meninggal dunia pada Khamis pada usia 96 tahun, berlangsung di bangunan Parlimen di Wellington.
Bercakap dari anak tangga parlimen, Perdana Menteri, Cik Jacinda Ardern, berkata acara itu mengiktiraf anak ratu, "Yang Mulia Raja Charles III sebagai raja kami yang berdaulat".
Cik Ardern memberitahu orang ramai bahawa selepas pemergian Ratu Elizabeth, New Zealand kini memasuki masa perubahan.
"Raja Charles... telah secara konsisten menunjukkan keprihatinannya yang mendalam terhadap negara kami," katanya.
"Hubungan ini amat dihargai oleh rakyat kami. Saya tidak syak ia akan semakin erat."
Di Australia, Gabenor Jeneral David Hurley, wakil raja British di Australia, mengisytiharkan Raja Charles sebagai ketua negara di Bangunan Parlimen di Canberra. Pengisytiharan itu diiringi dengan tabik hormat 21 das.
Raja British ialah ketua negara di Australia dan juga New Zealand, antara 14 negara di luar United Kingdom, walaupun peranannya sebahagian besarnya adalah istiadat.
Sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, berkata hari perkabungan kebangsaan untuk mendiang Ratu Elizabeth akan berlangsung pada 22 September, dengan hari itu adalah cuti umum.
Encik Albanese berkata beliau akan terbang ke London pada Khamis bagi menghadiri upacara pengebumian rasmi yang dijadualkan pada 19 September sebelum pulang ke Australia pada 21 September.
"Kemudian Hari Perkabungan Kebangsaan dan upacara peringatan ditetapkan keesokan harinya," katanya kepada televisyen ABC.
"Itu untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan atas pemergian Ratu Elizabeth," kata perdana menteri itu. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg