Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis Kerja Tertinggi Umno tiada kuasa buat keputusan berkaitan parti

Aug 12, 2021 | 5:30 AM
HADAPI CABARAN POLITIK DAN KEPARTIAN: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (depan) bersama pemimpin kanan parti menemui pihak media awal bulan ini bagi menyatakan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto INTERNET
HADAPI CABARAN POLITIK DAN KEPARTIAN: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (depan) bersama pemimpin kanan parti menemui pihak media awal bulan ini bagi menyatakan penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto INTERNET -

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menegaskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hanya berfungsi sebagai 'penjaga' atau 'caretaker' sahaja, sekali gus tidak boleh membuat keputusan berkaitan parti.

Ketua Pengarah ROS, Encik Jasri Kasim, berkata tempoh 'caretaker' berkuat kuasa sehingga parti menyelesaikan pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Beliau berkata MKT diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hanya boleh menjalankan kerja pentadbiran parti.

"Segala dasar dibuat parti perlulah dibawa dan dibahas dalam PAU sebelum diputuskan.

"MKT sedia ada hanya boleh melaksanakan tugas urusan hal ehwal pentadbiran Umno dan boleh meneruskan keputusan yang dibuat ketika PAU dan MKT sebelum 30 Jun lalu," katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM), kelmarin.

Ditanya bila ROS akan membuat keputusan berhubung maklumat tambahan dikemukakan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, kelmarin, Encik Jasri berkata buat masa ini tiada sebarang jangka masa ditetapkan pihaknya.

"Jangka masa untuk membuat keputusan mengenai maklumat tambahan itu tidak dapat ditentukan," katanya.

Terdahulu, Encik Jasri mengesahkan pihaknya ada menerima surat penjelasan daripada Umno mengenai keputusan penangguhan pemilihan selama 18 bulan dan sebelum ini ROS berpandangan perkara itu tidak sah.

Sebelum ini, Encik Jasri dilaporkan berkata penangguhan parti Umno tidak sah kerana ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Beliau berkata Umno perlu membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Datuk Ahmad menjelaskan di akaun Facebooknya semalam, ketegasan ROS agar Umno melaksanakan PAU akan memerlukan 66,287 kali mesyuarat empat peringkat di cawangan yang melibatkan 3.3 juta ahli Umno.

Ia juga memerlukan empat peringkat lagi mesyuarat di bahagian yang melibatkan 764 mesyuarat di peringkat Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian Umno.

"Semua ini mesti dijalankan serentak dengan kehadiran ratusan ribu perwakilan. Itu satu sebab lagi Umno minta tangguh," katanya kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh atau total lockdown akibat pandemik Covid-19.

"Umno menegaskan bahawa berdasarkan rentetan kronologi surat menyurat yang disebut di dalam kenyataan di antara pihak ROS dan Umno, maka telah wujud satu harapan yang sah oleh pihak Umno ke atas pihak ROS untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti.

"Umno berharap agar dengan penjelasan ini, maka polemik di antara Umno dan ROS dapat diselesaikan.

"Tambahan lagi, dengan kes Covid-19 yang tinggi mencecah sekitar 20,000 kes sehari menambah lagi kesukaran untuk mesyuarat perwakilan dan pemilihan diadakan dengan penglibatan 3.3 juta orang ahli Umno dan 66,287 jumlah mesyuarat perwakilan Umno di seluruh negara," terang setiausaha agung Umno itu, yang telah menemui Pendaftar ROS, Encik Jasri, di Ibu Pejabat ROS di Putrajaya pada Isnin lalu untuk berbincang dan menyampaikan dokumen yang diperlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg