Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Majlis Keselamatan PBB kecam larangan Taleban terhadap wanita di Afghanistan

Dec 29, 2022 | 05:30 AM



NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menggesa pemerintah Taleban menarik balik dasar yang menyasarkan wanita dan gadis di Afghanistan, dengan badan dunia itu turut menzahirkan kebimbangan "peningkatan hakisan" terhadap hak asasi manusia di negara itu.



Dalam tamparan terbaru ke atas kaum Hawa di Afghanistan, pemerintah Taleban - yang berjaya merampas semula kuasa negara itu tahun lalu - melarang wanita bekerja dalam pertubuhan bukan pemerintah (NGO).



Tindakan itu mencetuskan bantahan antarabangsa.



Sebelum ini, pihak Taleban telah menggantung pendidikan universiti untuk wanita dan sekolah menengah bagi perempuan.



Dalam satu kenyataannya, seramai 15 anggota Majlis Keselamatan PBB berkata mereka "sangat bimbang" dengan peningkatan sekatan ke atas pendidikan wanita, menyeru "penyertaan penuh, sama rata dan bermakna untuk wanita dan gadis di Afghanistan".



Ia menggesa penguasa Taleban "membuka semula sekolah dan segera membalikkan dasar dan amalan ini, yang mewakili hakisan yang semakin meningkat untuk menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asasi".



Dalam kenyataannya, Majlis Keselamatan itu juga mengecam larangan wanita bekerja untuk NGO.



Ia memberi amaran tentang kesan buruk terhadap operasi bantuan di negara yang berjuta-juta rakyatnya bergantung kepada NGO.



Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata di Twitter kelmarin, sekatan itu adalah "pelanggaran hak asasi manusia yang tidak wajar dan mesti dibatalkan".



"Tindakan mengecualikan dan mengetepikan wanita dan kanak-kanak perempuan terus menyebabkan penderitaan dan kemunduran besar kepada potensi rakyat Afghanistan," katanya.



Larangan wanita hadir ke universiti dibuat ketika Majlis Keselamatan di New York bermesyuarat minggu lalu.



Pelajar perempuan pula sudah diharamkan daripada sekolah menengah sejak Mac lalu.



Majlis Keselamatan berkata larangan ke atas pekerja kemanusiaan wanita, yang diumumkan Sabtu lalu "akan memberi kesan yang ketara dan serta-merta untuk operasi kemanusiaan di negara ini", termasuk yang dilakukan PBB sendiri.



"Sekatan ini bercanggah dengan komitmen yang dibuat oleh Taleban kepada rakyat Afghanistan serta jangkaan masyarakat antarabangsa," kata Majlis Keselamatan, yang turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap misi politik PBB di Afghanistan, yang dikenali sebagai Unama.



Empat kumpulan bantuan global utama, yang menjalankan kerja-kerja kemanusiaannya di Afghanistan, berkata pada Ahad lalu, mereka menangguhkan operasi kerana tidak dapat menjalankan program mereka tanpa kakitangan wanita.



Ketua Bantuan PBB, Encik Martin Griffiths, memberitahu Majlis Keselamatan minggu lalu bahawa 97 peratus rakyat Afghanistan hidup dalam kemiskinan dengan dua pertiga daripada penduduk memerlukan bantuan untuk terus hidup, manakala 20 juta lagi menghadapi kebuluran teruk serta 1.1 juta remaja perempuan dilarang bersekolah.



Tentera Taleban merampas kuasa pada Ogos 2021 yang menyaksikan Amerika Syarikat dan sekutu menamatkan pendudukan mereka.



Ketika kali terakhir berkuasa dua dekad lalu, pemerintah Taleban sudah mengharamkan pendidikan kanak-kanak perempuan, namun kali ini berjanji akan mengubah dasar.



Pentadbiran pimpinan Taleban bagaimanapun tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa. - AFP, Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >