PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk mengadakan rundingan segera Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Sidang Dewan Rakyat pada 6 November.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH yang diadakan pada Khamis (29 Okt), lapor laman Astro Awani.
"Majlis Presiden PH juga mengambil maklum titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah, bahawa semua Ahli Parlimen dapat memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 demi kelangsungan kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.
"Atas sebab-sebab ini Majlis Presiden Pakatan Harapan amat bersetuju dengan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan Pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.
"Maka Perdana Menteri harus menjunjung titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak Pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku," jelas kenyataan itu. - Astro Awani


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg