JAKARTA: Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI) bidang Fatwa, Profesor Muhammad Asrorun Niam Sholeh, mengumumkan penggantungan kerja dua anggota MUI, yang disyaki terlibat dengan pertubuhan yang mempunyai kepentingan dengan Israel.
Tindakan tersebut adalah susulan pertemuan kontroversi, antara anggota Nahdlatul Ulama (NU) dan Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, di Israel.
Walaupun tidak mendedahkan identiti anggota MUI yang digantung tugas, beliau mengesahkan penggantungan itu adalah untuk tujuan penjelasan, selepas pertemuan anggota NU dengan Presiden Israel.
“Walaupun kededua individu ini tidak pergi ke Israel, mereka adalah sebahagian daripada organisasi yang mempunyai hubungan Yahudi, dan tahun lepas mereka melawat Duta Israel di Singapura.
“Kami akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, tetapi buat masa ini, mereka digantung kerja,” kata Profesor Asrorun Niam pada 17 Julai seperti yang dilapor, Jakarta Globe.
Walaupun tidak menghadiri pertemuan dengan Presiden Herzog, penglibatan dua anggota itu dengan pertubuhan tersebut mendorong MUI mengambil tindakan awal untuk siasatan lanjut.
Profesor Asrorun Niam, bekas Pengerusi Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), dari 2014 hingga 2017, mengecam pertemuan anggota NU dengan Presiden Herzog, menyifatkan ia tidak wajar memandangkan keadaan semasa.
Beliau berkata individu terbabit telah memberikan penjelasan dan berdepan sekatan atas tindakan mereka.
Sebelum ini, pertubuhan Islam terbesar Indonesia NU, mengecam kunjungan lima ulama Islam ke Israel.
Setiausaha Agung NU, Encik Saifullah Yusuf, menjelaskan bahawa perjalanan itu dibuat tanpa persetujuan atau kebenaran pertubuhan itu.
Media tempatan mengenal pasti individu berkenaan sebagai Encik Zainul Maarif, Encik Munawar Aziz, Cik Nurul Bahrul Ulum, dan Cik Izza Annafisah Dania.
Encik Zainul adalah guru tamadun Islam di Universiti Nahdlatul Ulama, manakala Encik Munawar adalah anggota berdaftar unit perwakilan NU di Britain.
Cik Nurul dikaitkan dengan Program Pertukaran Muslim Australia-Indonesia (AIMEP) dan Program Pertukaran Muslim Australia-Asean (AAMEP).
Beliau adalah lulusan Universiti Islam Negeri (IAIN) di Cirebon. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg