Biasanya selepas setiap acara walimah, tetamu akan diberi antara lain cenderamata berbentuk hiasan kecil seperti cawan, pinggan atau mangkuk atau pun cemilan seperti gula-gula, madu dan kek cawan.
Namun majlis walimah yang berlangsung di Indonesia memberikan tetamunya berkat yang berbeza dan berkhasiat – sayur-sayuran.
Begitulah suasana acara walimah sepasang mempelai yang bernikah pada 9 September 2023 di Indonesia.
Majlis itu dirakam dalam satu video yang dimuat naik ke TikTok oleh penganjur acara pernikahan dari Surabaya, Kamaniya Organizer, yang mencatatkan hingga lebih 7.2 juta tontonan.
Dalam video itu, tetamu majlis tersebut diberi plastik dan kelihatan memilih serta memasukkan beraneka jenis sayur-sayuran secara terbuka untuk dibawa pulang.
Antara jenis sayur yang disediakan termasuk terung, kubis, kacang panjang, sawi, lobak merah, timun dan lain-lain lagi.
Video itu turut memberi markah tertentu kepada beberapa tetamu berdasarkan bilangan sayur yang mereka ambil – lebih banyak sayur yang diambil maka lebih tinggi markahnya.
Salah seorang wanita misalnya diberi markah hanya 2/20 sahaja kerana mengambil dua biji terung sahaja, manakala seorang lagi warga senja diberi markah 100/10 kerana seolah-olah telah memborong “seluruh kedai” dengan beraneka jenis sayur.
Menjawab pertanyaan Berita Harian, pengantin lelaki bernama Encik Tirta Adhi berkata idea di sebalik cenderahati itu sebenarnya timbul daripada orang tuanya.
“Awal muncul idea tersebut kerana keinginan orang tua kami untuk memeriahkan acara pernikahan kami,” katanya menerusi Instagram kepada wartawan.
Beliau menambah, tiada sebab tertentu mengapa mereka memilih untuk menyediakan sayur sebagai hadiah kepada tetamu.
Susulan video tular itu, beberapa pengguna di TikTok, menyifatkan acara itu umpama pasar yang riuh kerana tetamu kelihatan mengambil sayuran dengan penuh keriangan.
Biarpun syarikat penganjur itu menjelaskan dalam satu video berasingan di TikTok bahawa suasana acara kelihatan tenang dan teratur sahaja.
“Wedding pasar sayur (itu) tetap kondusif ya? Tidak terlihat berciciran sama sekali,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg