PETALING JAYA: Langkah mewajibkan pemakaian pelitup mungkin dikenakan semula di sekolah di Malaysia, sedang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang mahu mencadangkan penggunaan pelitup sekali lagi. Satu laporan memetik Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, sebagai berkata langkah itu adalah untuk mengelakkan kebangkitan semula Covid-19 disebabkan oleh varian XBB1.16, atau Arcturus. Dr Zaliha berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, berhubung perkara itu tidak lama lagi. "Saya akan berjumpa dengannya (Cik Fadhlina) minggu ini untuk membincangkan garis panduan dan mengapa kita perlu mengawal penularan Covid-19 di sekolah, terutamanya dengan varian Arcturus baru yang sangat mudah merebak," katanya. Garis panduan dan prosedur operasi standard akan dikeluarkan sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei. "Ini penting kerana kita bimbang pelajar akan dijangkiti selepas banyak berjalan semasa cuti Hari Raya yang boleh menyebabkan penularan Covid-19 di sekolah," katanya kepada Berita Harian Malaysia
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg