PUTRAJAYA: KERAJAAN Malaysia tidak membenarkan rakyat dari negara yang mencatat jumlah kes positif Covid-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia bermula Isnin ini (7 September), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata antara negara dalam senarai sekatan itu ialah Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, United Kingdom (UK), Sepanyol, Italy, Arab Saudi, Russia dan Bangladesh, selain tiga negara yang diumumkan Selasa (1 September) iaitu India, Indonesia dan Filipina.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan mengumumkan lebih lanjut mengenai senarai negara yang merekodkan kes positif COVID-19 melebihi 150,000.
Pada Selasa, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan sekatan kemasukan pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina ke Malaysia bermula 7 September ini berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negara berkenaan.
Sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka yang berstatus Penduduk Tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.
Turut disekat ialah pasangan kepada warga negara Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg