Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Malaysia tarik balik larangan eksport ayam mulai 1 Julai

Jun 9, 2023 | 4:49 PM
Bekalan ayam semakin stabil: Malaysia mengumumkan langkah menarik balik larangan eksport ayam mulai 1 Julai.  - Foto The Straits Times
Bekalan ayam semakin stabil: Malaysia mengumumkan langkah menarik balik larangan eksport ayam mulai 1 Julai. - Foto The Straits Times - Foto The Straits Times

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menarik balik larangan eksport ayam mulai 1 Julai, kata Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, pada Khamis.

Tambahnya, kerajaan juga akan mula mengapungkan harga telur dan ayam mulai tarikh yang sama.

Menarik balik larangan ayam akan membolehkan penternak memperoleh pendapatan daripada pasaran eksport dan memudahkan aliran tunai ke negara ini, katanya.

Datuk Mohamad Sabu menambah bahawa pengeluar ayam akan dapat mengeksport ayam hidup, ayam yang telah disembelih dan dibersihkan serta bahagian-bahagian ayam tetapi bukan anak ayam berumur sehari.

Menteri itu juga berkata subsidi untuk pengeluar ayam akan tamat selepas 30 Jun dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bertanggungjawab menentukan sama ada perlu ada had harga semasa musim perayaan.

“Bagi memastikan bekalan ayam dan telur dapat distabilkan selepas subsidi ditamatkan, kementerian akan melaksanakan mekanisme halus,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen. 

Ahli Parlimen Mas Ermieyati Samsudin bertanya sama ada kementerian telah menjalankan kajian terperinci sebelum keputusan diambil bagi membatalkan subsidi ternakan.

Datuk Mohamad Sabu menambah bahawa kerajaan juga akan membenarkan import ayam dari negara sumber yang diiktiraf termasuk Brazil, China, Denmark dan Thailand.

“Bagi import telur, negara sumber yang dibenarkan ialah Thailand dan Ukraine,” katanya.

Kerajaan, katanya, akan meneruskan program penyimpanan stok ayam yang telah disembelih dan dibersihkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang serta program Jualan Agro Madani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang menjual produk pertanian 5-10 peratus di bawah harga pasaran kepada kumpulan sasar.

“Sehingga 8 Mei lalu, sebanyak 28,078,620 biji telur telah diedarkan melalui 369 cawangan Fama,” katanya.

Kerajaan sebelum ini cuba membatalkan subsidi ayam itik pada 1 Julai 2022. Bagaimanapun, Kabinet memutuskan dua hari sebelum itu menaikkan harga siling.

Pengeluar ayam mengalami tekanan berterusan sejak dua tahun lalu disebabkan peningkatan kos makanan, terutamanya kerana isu bekalan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan cabaran yang disebabkan oleh konflik Russia-Ukraine.

Pada 2022, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM369.5 juta ($108 juta) untuk subsidi ayam itik. – The Star.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg