MENTERI Kedua (Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, semalam menghadiri majlis perasmian Presiden Timor-Leste, Encik Jose Ramos-Horta, dan sambutan ulang tahun ke-20 kemerdekaan negara itu di Dili.

Dr Maliki menemui Encik Ramos-Horta; Perdana Menteri, Encik Taur Matan Ruak; dan Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan, Encik Armindo Maia.

Dr Maliki turut menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Menteri Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Cik Adaljiza Magno.

Dr Maliki juga menyampaikan surat ucapan tahniah daripada Presiden Halimah Yacob kepada Encik Ramos-Horta di mana beliau mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya di Timor-Leste itu dan negaranya pada ulang tahun kemerdekaannya.

Dalam suratnya, Puan Halimah berkata Timor-Leste telah menyaksikan "kemajuan yang luar biasa sepanjang dua dekad yang lalu", dan beliau meluahkan keyakinan bahawa negara itu akan terus makmur di bawah kepimpinan Encik Ramos-Horta.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-20 penubuhan hubungan diplomatik antara Singapura dengan Timor-Leste, kata Puan Halimah.

"Hubungan dua hala antara kedua-dua negara kita telah berkembang sejak 20 tahun lalu, disokong oleh perspektif kita bersama sebagai negara kecil," katanya.

"Singapura kekal komited menyokong perjalanan pembangunan Timor-Leste. Saya yakin persahabatan antara negara kita akan terus kukuh pada tahun-tahun akan datang dan membawa manfaat bersama untuk rakyat kita," tambahnya.

Timor-Leste ialah negara termuda di Asia Tenggara.

Bekas jajahan Portugis itu merdeka daripada Indonesia pada 2002.

Timor-Leste berkongsi sempadan dan separuh pulau yang ia duduki dengan Indonesia.

Ia mempunyai seramai 1.3 juta penduduk dan telah bergelut dengan cabaran mempelbagaikan ekonominya dan mengurangkan kadar kemiskinan yang tinggi.

Encik Ramos-Horta berkata beliau mahu membawa negaranya menyertai Asean untuk menjadi anggotanya yang ke-11.