Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

GEMPA DI TURKEY DAN SYRIA

Mangsa di bawah runtuhan gempa Turkey jerit minta diselamatkan

Suhu amat sejuk sukarkan proses menyelamat
Feb 08, 2023 | 05:30 AM



HATAY (Turkey): Jeritan suara mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan memenuhi awal pagi semalam sedang ahli keluarga menggali mangsa yang masih terselamat dengan penyodok dan tangan dalam keadaan suhu amat sejuk.



Angka kematian di Turkey dan negara jiran Syria meningkat kepada lebih 5,000 orang selepas gempa bumi 7.8 magnitud melanda dua negara itu awal Isnin, meruntuhkan ratusan blok perumahan, memusnahkan hospital dan menyebabkan ribuan cedera atau kehilangan tempat tinggal.



Pasukan penyelamat Turkey dan Syria melaporkan lebih 5,600 bangunan runtuh di beberapa bandar, termasuk banyak blok pangsapuri bertingkat yang dipenuhi penduduk yang sedang tidur ketika gempa pertama berlaku.



Cuaca amat sejuk menghalang usaha mencari mangsa yang terselamat semalaman hingga semalam.



Di bawah timbunan runtuhan di wilayah selatan Hatay, kedengaran suara seorang wanita meminta tolong. Berdekatannya, mayat seorang kanak-kanak kecil terbaring kaku tidak bernyawa.



Sambil menangis dalam hujan, seorang penduduk tempatan, yang memberi namanya sebagai Encik Deniz, mengangkat tangannya sebagai tanda terdesak.



"Mereka (mangsa) membuat bising, tetapi tiada siapa yang datang," katanya.



"Kami sedih, amat sedih... Mereka (mangsa) memanggil-manggil. Mereka berkata, 'Selamatkan kami', tetapi kami tidak dapat selamatkan mereka. Bagaimana kami hendak menyelamatkan mereka? Tidak ada orang (penyelamat) datang sejak pagi."



Suhu turun hampir ke tahap beku semalaman, memburukkan keadaan bagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan atau mereka yang kehilangan tempat tinggal.



Di Kahramanmaras, utara Hatay, seluruh keluarga berkumpul di sekitar kawasan unggun api dan membalut diri mereka dengan selimut untuk mengurangkan rasa sejuk.



"Kami hampir tidak berjaya keluar dari rumah," kata Encik Neset Guler, mengerumuni unggun api itu dengan empat anaknya.



"Keadaan kami dalam keadaan sukar. Kami lapar, kami dahaga. Amat menyedihkan."



Gempa bumi itu, yang disusuli beberapa siri gempa susulan, adalah yang terbesar direkodkan di seluruh dunia oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) sejak satu gempa melanda satu kawasan terpencil di Atlantik Selatan pada Ogos 2021.



Awal semalam, media pemerintah Anadolu Agency melaporkan bahawa angka kematian di Turkey meningkat kepada 2,921, dengan 15,834 cedera, menjadikannya gempa bumi paling dahsyat di negara itu sejak 1999, apabila satu gegaran dengan magnitud sama mengorbankan lebih 17,000 orang.



Terdapat kebimbangan jumlah kematian akan meningkat, dengan pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sehingga 20,000 mungkin telah meninggal dunia.



Di Damsyik, Syria, pula lebih 1,450 orang terbunuh dan kira-kira 3,500 cedera, menurut angka daripada pemerintah negara itu dan pekerja penyelamat di wilayah barat laut yang dikawal kumpulan pemberontak.



Sambungan Internet yang lemah dan jalan raya yang rosak di beberapa bandar paling teruk dilanda di selatan Turkey, telah menghalang usaha menilai kerosakan sebenar dan menangani kesan gempa di situ.



"Kami berlumba dengan masa dan hipotermia," kata Profesor Mikdat Kadioglu dari jabatan meteorologi dan pengurusan bencana di Universiti Teknikal Istanbul.



"Orang ramai terperangkap dalam pakaian tidur dan berada di bawah runtuhan selama 17 jam," katanya.



Hipotermia merujuk kepada keadaan suhu badan yang jauh lebih rendah daripada paras normal dan ini boleh menyebabkan pitam, pengsan dan sebagainya.



Sementara itu, puluhan negara, dari Ukraine ke New Zealand, menyatakan mereka akan menghantar bantuan, walaupun hujan sejuk selain suhu di bawah sifar telah memperlahankan tindak balas pasukan penyelamat. - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >