Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa gempa berdepan 'bencana kedua' dek sejuk

Feb 12, 2023 | 5:30 AM
MISI MENYELAMAT: Jentolak digunakan untuk mengalihkan serpihan bangunan yang runtuh bandar utara Aleppo di Syria selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda bahagian tenggara Turkey. - Foto-foto AFP
MISI MENYELAMAT: Jentolak digunakan untuk mengalihkan serpihan bangunan yang runtuh bandar utara Aleppo di Syria selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda bahagian tenggara Turkey. - Foto-foto AFP -

ALEPPO (Syria): Mangsa yang terselamat daripada gempa bumi yang melanda Turkey dan Syria awal Isnin lalu mungkin berdepan "bencana kedua" akibat cuaca sejuk dan salji yang akan menyebabkan "keadaan yang lebih teruk dan mengerikan," kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bercakap pada sidang akhbar di Geneva, pengurus tindak balas kejadian WHO, Encik Robert Holden, memberi amaran bahawa terdapat ramai orang mencari perlindungan di tempat terbuka, dalam keadaan yang semakin teruk dan mengerikan.

"Terdapat gangguan besar terhadap bekalan air asas, serta gangguan terhadap bahan api, bekalan elektrik, bekalan komunikasi, dan asas kehidupan," kata Encik Holden.

"Terdapat kemungkinan besar bahawa kami akan menyaksikan bencana sekunder yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada lebih ramai orang berbanding bencana awal jika kami tidak bergerak dengan kadar dan intensiti yang sama seperti yang kami lakukan di bahagian mencari dan menyelamat," tambah Encik Holden.

Cabaran tersebut menjadi lebih rumit dengan kawasan terjejas di kedua-dua negara menghadapi suhu yang lebih sejuk.

Sebagai contoh, di bandar Aleppo, Syria, ia diramalkan bahawa suhu mencecah serendah -3 hingga -2 darjah Celsius sepanjang hujung minggu ini, suhu terendah yang dicatatkan pada Februari adalah sekitar 2.5 darjah Celsius.

Merumitkan keadaan lagi, konflik yang telah berlaku bertahun-tahun lamanya serta krisis kemanusiaan yang teruk bermakna terdapat kesukaran tambahan untuk membantu mangsa yang terselamat di Syria, di mana bantuan antarabangsa lambat tiba.

Ia mengambil masa sehingga Khamis lalu untuk konvoi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang pertama untuk menyeberang dari Turkey ke bahagian barat laut Syria.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN OCHA) berkata konvoi yang tiba, terdiri daripada enam trak yang membawa barangan perlindungan dan barangan bukan makanan, menyeberang melalui lintasan Bab al-Hawa - satu-satunya koridor bantuan kemanusiaan antara Turkey dengan Syria.

"Operasi bantuan rentas sempadan PBB telah dimulakan semula. Kami berasa lega kerana kami dapat menghubungi penduduk di barat laut Syria dalam masa yang mendesak ini.

"Kami berharap operasi ini dapat berterusan kerana ini adalah talian hayat kemanusiaan dan satu-satunya saluran berskala," kata Cik Sanjana Quazi, ketua OCHA Turkey kepada CNN.

Penghantaran keperluan itu menamatkan tempoh tiga hari di mana tiada bantuan tiba di sempadan Bab al-Hawa yang melintasi dari Turkey ke kawasan yang dikuasai pemberontak di utara Syria.

Susulan gempa bumi berukuran 7.9 magnitud pada skala Richter, PBB berkata jalan ke persimpangan telah disekat, tetapi pada Rabu lalu ia dibuka semula, menimbulkan persoalan mengapa ia mengambil masa yang lama untuk bantuan tiba.

Seorang pegawai tertinggi misi bantuan memberitahu CNN sebelum ini bahawa usaha untuk membantu orang ramai di wilayah Syria yang dilanda gempa bumi adalah "sangat sukar" kerana laluan masuk di sepanjang sempadan telah musnah akibat bencana itu.

"Selain itu, di Syria, bencana ini berlaku di tengah-tengah zon konflik," kata Encik Jan Egeland, setiausaha agung Majlis Pelarian Norway.

Keadaan di Syria amat berbeza berbanding dengan di Turkey, di mana banyak negara dan organisasi antarabangsa telah menawarkan menghantar pasukan penyelamat, derma dan bantuan.

Setakat ini, beberapa negara, termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Russia, telah menghantar bantuan ke lapangan terbang yang dikawal rejim.

Negara lain, termasuk China, Arab Saudi, Qatar dan Canada, juga telah berjanji untuk menghantar bantuan.

Namun begitu, pemerintah Syria berkata ia memerlukan lebih banyak dan telah menggesa agar sekatan yang dikenakan ke atas negara itu ditarik balik.

Bilangan orang yang memerlukan bantuan kemanusiaan di Syria sebelum gempa bumi adalah sekitar 15.3 juta - tetapi jumlah itu kini perlu disemak, kata Encik El-Mostafa Benlamlih, Penyelaras Residen PBB untuk Syria.

Di Aleppo sahaja seramai 100,000 orang dipercayai kehilangan tempat tinggal, dengan 30,000 daripada jumlah itu kini ditempatkan di sekolah dan masjid. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg