PARIS: Bekas juara tinju dunia lapan divisyen asal Filipina, Manny Pacquiao, telah dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA), kata badan yang dilarang daripada menganjurkan sukan itu dalam Sukan Olimpik pada 27 Oktober.
Pacquiao, 46 tahun, salah seorang petinju terhebat dalam sejarah, akan bekerja rapat dengan presiden persatuan yang dikaitkan dengan Kremlin, Umar Kremlev, untuk membangunkan program pembangunan atlet.
IBA sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Tinju Antarabangsa Amatur (Aiba) dan mengendalikan sukan itu dalam Sukan Olimpik.
Selepas amaran berulang kali mengenai kebimbangan kewangan, tadbir urus dan etika, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan hubungan dengan Aiba menjelang Sukan Olimpik Tokyo pada 2021.
Dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028, pertandingan itu akan dikendalikan oleh World Boxing.
Dalam kenyataan IBA selepas mesyuarat di Manila, Pacquiao memuji “kepimpinan berwawasan” Kremlev.
“IBA telah memasuki Era Keemasan yang menyaksikan setiap peninju, dari setiap negara, boleh mengejar impian, bertarung, dan berjaya atas dasar sama rata.
“Saya berbangga menyertai misi ini untuk memastikan tiada peninju muda yang ketinggalan, tiada juara yang dilupakan, dan tiada negara yang dikecualikan,” ujar Pacquiao.
IBA berkata Pacquiao akan memainkan peranan aktif dalam memajukan misi dan nilai organisasi.
“Saya akan dedikasikan diri saya untuk membina jambatan – antara amatur dengan profesional, antara Timur dengan Barat, antara generasi dengan budaya,” katanya.
Pacquiao bangkit daripada seorang penjaja jalanan remaja kepada salah seorang peninju terhebat sepanjang zaman, mengaitkan kemasyhurannya dengan kerjaya dalam politik dan juga nyanyian.
Beliau bukan peninju yang calang-calang dan usia mungkin pada kertas semata-mata.
Pacquiao membuktikan usia bukan penghalang dengan menjadi juara welterweight paling tua dalam sejarah sukan itu pada Julai 2024 selepas mencatat kemenangan ke atas lawannya yang tidak pernah kalah, Keith Thurman, dari Amerika Syarikat.
Pacquiao, yang sudah mencecah usia lebih 40 tahun, menewaskan Thurman, yang berusia 10 tahun lebih muda dalam pertarungan 12 pusingan untuk menjadi juara Persatuan Tinju Dunia (WBA).
Seramai 14,356 penonton, termasuk jaguh tinju yang sudah bersara, Floyd Mayweather, menyaksikan pertandingan itu dan mereka disajikan dengan persembahan vintaj yang menyaksikan Pacquiao, seorang senator di Filipina, meraih kemenangan ke-62 daripada 71 pertarungan dalam kerjayanya yang menjangkau tempoh lebih 24 tahun. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg