Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Mansuh hukuman mati mandatori bukan maksud tiada hukuman mati

Jul 18, 2022 | 05:30 AM



PEMANSUHAN hukuman mati mandatori seperti yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia adalah satu transformasi undang-undang negara, pada masa yang sama penelitian dan pencerahan perlu dilakukan sebelum keputusan itu dilaksanakan.



Seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Wan Junaidi Tengku Jaffar, menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal undang-undang, hanya perkataan 'mandatori' dikeluarkan daripada peruntukan undang-undang baru itu bagi memberi kuasa budi bicara kepada hakim perbicaraan menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.



Peruntukan undang-undang sebelum ini yang menyatakan 'mandatori' bagi setiap hukuman mati mengikat tangan para hakim untuk menjatuhkan hukuman lain selain hukuman mandatori gantung sampai mati bagi setiap kesalahan yang dilakukan.



Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, berpandangan dari segi falsafahnya transformasi atau perubahan memansuhkan hukuman mati mandatori ini, ia bukan sekadar perubahan kepada hukuman mati tetapi sebenarnya ia memberi kesan mendatar ke atas pentadbiran keadilan jenayah Malaysia.



"Ini disebabkan sejak dari dulu sampai sekarang negara masih menerima hukuman mati itu, adakalanya mendatangkan keadilan kepada mangsa sebab kalau dilihat kepada pentadbiran keadilan itu apakah tujuannya adakah untuk memberi keadilan kepada kedua-dua pihak.



"Bagaimanapun, desakan antarabangsa apabila menyatakan hukuman mati ini menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan.



"Jadi mereka menjalankan gerakan supaya dibuat pada bacaaan saya selepas Perang Dunia Kedua apabila menyemarakkan keadaan hak asasi itu maka sejak dulu lagi digerakkan sehingga 140 lebih negara telah menghapuskan hukuman mati kalau ada hukuman mati pun ia tidak dinyahaktifkan, maknanya, tidak dilaksanakan hukuman mati itu," ujarnya.



Bagi Peguam Kanan Jenayah dan Sivil, Encik Haniff Khatri Abdulla, kini terdapat 11 kategori kes jenayah yang mengenakan hukuman mandatori gantung sampai mati bagi setiap kes yang wajib dilaksanakan oleh setiap hakim perbicaraan.



Menurutnya, keputusan terkini itu memberi mahkamah kuasa budi bicara untuk menimbang fakta, keadaan kes, rentetan peristiwa serta faktor lain supaya pertimbangkan boleh dibuat apakah hukuman yang sesuai sekiranya ada selain hukuman mati untuk diambil tindakan selanjutnya.



Bagaimanapun, menurutnya, orang ramai perlu memahami pemansuhan hukuman mati mandatori tersebut tidak bermaksud tiada lagi hukuman mati dikenakan, maksudnya mahkamah akan diberi pilihan sama ada menjatuhkan hukuman mati atau hukuman lain yang sesuai dengan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.



"Bagi saya, langkah terbaru kerajaan itu satu perkembangan yang positif dan menjadikan sistem keadilan jenayah bertambah matang dan lebih lengkap konsep keadilannya.



"Keduanya, ada proses perundangan iaitu peruntukan baru perlu diteliti dan dipinda melalui rang undang-undang (RUU) ke atas semua 11 kategori kes jenayah itu, " tambahnya.



Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, berpandangan dalam dunia globalisasi ini Malaysia bukan terasing, kalau dilihat trend atau corak pemikiran sedunia mengarah pada pemansuhan hukuman mati.



Bagaimanapun, menurutnya pada masa yang sama perlu diingat apa yang dicadangkan oleh pihak kerajaan ialah memansuhkan mati mandatori bukan memansuhkan hukuman mati ia satu perbezaaan yang amat besar sekali.



"Trend negara barat telah memansuhkan hukuman mati secara mutlak, namun begitu walaupun dunia cuba memansuhkan hukuman mati malah PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) juga membuat moratorium menggalakkan pemansuhan hukuman mati



"Bagaimanapun, negara yang dikatakan mengamalkan demokrasi contohnya Amerika Syarikat masih mengamalkan hukuman mati.



"Jadi di sini kita lihat ada satu percanggahan walaupun disuruh negara lain memansuhkan hukuman mati tetapi Amerika salah satu masih mengamalkan hukuman mati, " katanya.



Menurut Profesor Madya Dr Khairil Azmin faktor lain kenapa kerajaan membuat keputusan itu disebabkan kerjasama dengan negara luar kerana dalam undang-undang jenayah ada prinsip 'double criminality' atau jenayah berganda.



"Mengikut jenayah berganda adalah sesuatu perbuatan atau pengakuan mesti dianggap sebagai jenayah di dua negara, salah satunya ialah negara di mana jenayah itu didakwa, maka ia boleh diekstradisi.



"Timbul masalah jika negara itu tidak mempunyai hukuman mati tetapi negara kita mempunyai hukuman mati.



"Jadi dengan pemansuhan hukuman mati mandatori memudahkan kerjasama kerajaan dengan negara luar yang tidak mempunyai hukuman mati, " tambahnya.



Sebelum usul pemansuhan berkenaan yang dijangka dibentang pada Oktober ini, sesi libat urus perlu diadakan antara kerajaan dengan pakar akademik dan ahli Dewan Rakyat bagi mendapatkan pandangan mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori.



Cadangan pemansuhan itu berdasarkan kepada Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.




SEKILAS FAKTA



11 kesalahan peruntuk hukuman mati mandatori wajib atas individu yang didapati bersalah



AKTA SEKSYEN KESALAHAN 121A



Kesalahan ke atas tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertuan Negeri



  • 130C

Melakukan perbuatan pengganas, jika perbuatan itu akibatkan kematian



  • 130I

Mengarahkan kegiatan kumpulan pengganas, jika perbuatan itu akibatkan kematian



KANUN KESEKSAAN (AKTA 574)



  • 130N

Memberi atau kumpul harta untuk perbuatan pengganas, jika perbuatan itu akibatkan kematian



  • 130O

Memberi perkhidmatan bagi tujuan pengganas, jika perbuatan itu akibatkan kematian



  • 130QA

Terima rasuah untuk memudahkan atau membolehkan perbuatan pengganasan, jika perbuatan itu akibatkan kematian



  • 130ZB

Terima rasuah untuk memudahkan atau membolehkan kegiatan jenayah terancang, sekiranya perbuatan itu akibatkan kematian



  • 302

Hukuman bagi kesalahan membunuh yang diperuntukkan di bawah Seksyen 300



  • 374A

Mengambil tebusan



AKTA SENJATA API (PENALTI LEBIH BERAT) 1971 (AKTA 37)



  • 3

Penalti kerana melepaskan tembakan dari senjata api pada melakukan sesuatu kesalahan berjadual



  • 3A

Penalti bagi rakan sejenayah dalam hal melepaskan tembakan senjata api




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >