KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan, kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini setelah beliau dikatakan memperolehi rumah mewah di Britain menerusi wang terkait skandal rasuah 1MDB.
Siasatan agensi pencegahan rasuah itu adalah susulan keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, Tim Leissner, semasa perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng, di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di New York, Amerika Syarikat, semalam.
Rohana dalam kenyataan media pada Jumaat (25 Feb) melalui firma guaman Valen, Oh & Partners, mengesahkan hadir ke pejabat SPRM.
"Saya merujuk kepada dakwaan terhadap saya yang dipaparkan dalam media. Saya hadir di pejabat SPRM dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan mereka," katanya.
Difahamkan, Rohana tiba pada jam 9 pagi di pejabat SPRM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 dan selesai memberi keterangan pada jam 6 petang semalam.
Bloomberg sebelum ini melaporkan,Leissner dalam keterangannya mendakwa, seorang CEO organisasi media yang mempunyai hubungan sulit dengannya, memeras ugut untuk dibelikan rumah bernilai AS$10 juta ($13.5 juta) dan nama Rohana antara yang disebut.
Leissner dalam keterangannya berkata, hubungan berkenaan bermula pada 2003 hingga 2013.
Beliau mendakwa pernah membelikan Rohana rumah di London pada 2013 selepas diugut untuk didedahkan pembabitannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang haram.
Sementara itu, Ng dibicarakan terhadap tuduhan bersubahat dalam kesalahan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah membabitkan 1MDB. - BHM
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg