JAKARTA: Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo akan memberi tugasan baru kepada mantan Ketua Penguasa Ibu Kota Nusantara (OIKN), Encik Bambang Susantono, dalam bidang kerjasama antarabangsa bagi mempercepatkan pembangunan Nusantara.

Menteri Setiausaha Negeri, Encik Pratikno, membuat kenyataan itu di sini pada 3 Jun selepas pengumuman peletakan jawatan Encik Susantono sebagai Ketua OIKN dan Encik Dhony Rahajoe sebagai Timbalan Ketua OIKN.

“Bambang Susantono akan diberi tugasan baru iaitu secara langsung membantu Presiden mengukuhkan kerjasama antarabangsa bagi mempercepatkan pembangunan Nusantara,” katanya, dipetik agensi berita rasmi, Antara.

Encik Pratikno menyatakan bahawa perbincangan berhubung peletakan jawatan Encik Susantono dan Encik Rahajoe telah berlangsung sejak sekian lama, tetapi keputusan presiden berkaitannya baru disiarkan pada 3 Jun.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Presiden Jokowi melantik Menteri Kerja Raya dan Perumahan Awam, Encik Basuki Hadimuljono, sebagai Pemangku Ketua OIKN dan Timbalan Menteri Agraria dan Perancangan Ruang, Raja Juli Antoni, sebagai Timbalan Ketua OIKN.

Encik Susantono dilahirkan di Yogyakarta pada 4 November 1963.

Presiden Jokowi melantik Encik Susantono sebagai Ketua OIKN pada Mac 2022.

Kepakaran beliau dalam perancangan infrastruktur dan pengangkutan awam menyebabkan beliau menduduki jawatan Timbalan Pembangunan Infrastruktur dan Wilayah di Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Ekonomi bagi tempoh 2007 hingga 2010.

Dalam mencari penyelesaian kepada masalah pengangkutan negara, Encik Susantono, yang merupakan Pengerusi Besar Persatuan Pengangkutan Indonesia (MTI) bagi tempoh 2004 hingga 2010, memberikan penekanan yang lebih kepada sistem pengangkutan yang bersifat kemanusiaan.

Di peringkat antarabangsa, Encik Susantono berkhidmat sebagai Naib Presiden Persatuan Kajian Pengangkutan Asia Timur (Easts) dan merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah untuk Yayasan SouthSouthNorth (SSN) di Cape Town, Afrika Selatan, yang terlibat dalam perubahan iklim dan persekitaran. – Agensi berita.