Topic followed successfully
Go to BHkuMantan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe maut selepas ditembak
Mantan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe maut selepas ditembak
Mantan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe maut selepas ditembak

BEKAS pemimpin Jepun, Shinzo Abe meninggal dunia pada hari Jumaat (8 Julai) selepas beliau ditembak semasa ucapan perhimpunan di wilayah Nara di barat Jepun.
Kematian bekas perdana menteri itu disahkan oleh pegawai Parti Liberal Demokratik kepada media tempatan.
Perdana Menteri Fumio Kishida sebelum ini berkata Encik Abe berada dalam keadaan kritikal.
Beliau menambah, doktor sedang berusaha gigih menyelamatkan nyawa Encik Abe. "Saya berdoa agar Abe dapat bertahan daripada ujian ini," kata Encik Kishida, sambil berusaha menahan sebak.
Beliau mengutuk serangan "biadab" itu, yang menurutnya "tidak boleh dimaafkan" dan tidak dapat diterima sama sekali.
Seorang lelaki yang juga suspek tembakan itu, dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, 41 tahun, telah diberkas.
Encik Abe, 67 tahun, dilihat dalam keadaan berdarah selepas bunyi tembakan kedengaran di bandar Nara dekat Kyoto.
Encik Seigo Yasuhara, seorang pegawai di pusat arahan di Jabatan Bomba Nara, berkata Encik Abe segera dibawa oleh ambulans ke helikopter perubatan.
Encik Abe kemudian dibawa ke Hospital Universiti Perubatan Nara, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dalam keadaan serius, kata Encik Yasuhara.
Dalam satu catatan Facebook, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata: "Saya amat terkejut apabila mengetahui bekas perdana menteri Jepun Abe Shinzo ditembak di wilayah Nara pagi ini. Ini adalah tindakan keganasan yang tidak masuk akal. Encik Abe ialah kawan baik Singapura".
Encik Lee menambah, beliau baru sahaja makan tengah hari bersamanya pada Mei lalu, semasa lawatan Encik Lee ke Tokyo.
Menulis di Faceboooknya juga, Presiden Halimah Yacob berkata: "Sedih dan terkejut apabila mendengar tentang serangan ngeri terhadap bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe.
"Kali terakhir kami bertemu semasa Istiadat Pertabalan Maharaja Naruhito. "Semoga Encik Abe, keluarganya dan rakyat Jepun mendapat kekuatan dalam masa sukar ini".

