Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masih terlalu awal tarik sekatan pergerakan di Britain: Johnson

Jan 23, 2021 | 5:30 AM
'DUDUK RUMAH': Setiausaha Dalam Negeri Britain, Cik Priti Patel, menggesa warga mematuhi langkah-langkah selamat sedang kes koronavirus bertambah di negara itu. - Foto AFP
'DUDUK RUMAH': Setiausaha Dalam Negeri Britain, Cik Priti Patel, menggesa warga mematuhi langkah-langkah selamat sedang kes koronavirus bertambah di negara itu. - Foto AFP -

LONDON: Adalah terlalu awal untuk mengatakan bila sekatan pergerakan koronavirus nasional di England akan berakhir, kata Perdana Menteri Britain Boris Johnson sedang jumlah kematian harian ekoran Covid-19 mencapai kadar tertinggi dan hospital semakin sesak.

Buat dua hari berturut-turut Britain mencatatkan rekod kematian harian baru pada Rabu lalu yang mencapai 1,820 nyawa - perangkaan yang mengejutkan, kata Encik Johnson.

Jumlah kematian harian bagaimanapun turun kelmarin.

Satu tinjauan bergelar React-1 berkata jumlah jangkitan tidak merosot pada beberapa hari pertama sekatan, walaupun kerajaan berkata kesan sekatan nasional yang diperkenalkan pada 5 Januari lalu tidak dicerminkan dalam perangkaan itu.

"Saya fikir adalah terlalu awal untuk mengatakan bila kami akan menarik balik beberapa sekatan ini," ujar Encik Johnson.

"Apa yang kita lihat pada data ONS, dalam tinjauan React-1, adalah penyebaran varian baru virus ini yang tiba sebelum Hari Natal.

"Tidak syak lagi bahawa ia boleh menular dengan cepat."

Sekatan pergerakan nasional ketiga di England itu telah menyaksikan kebanyakan bar, restoran dan sekolah ditutup.

Encik Johnson berkata kenaikan mendadak dalam kes pada hujung tahun lalu disebabkan oleh varian yang lebih mudah berjangkit, berbanding dengan koronavirus yang pertama kali dikesan di England.

Sedang jumlah kematian terus meningkat, jumlah kes baru telah merosot daripada kadar tertinggi 68,000 pada 8 Januari kepada 37,892 kes kelmarin.

Encik Johnson bermatlamat untuk memberi vaksin kepada kumpulan yang diutamakan menjelang pertengahan Februari bagi melindungi warga tua, paling lemah dan kakitangan kesihatan barisan hadapan, sebelum menimbangkan untuk meredakan sekatan.

Britain telah memberi sebanyak 363,508 vaksin pada Rabu - jumlah harian rekod baru, yang membawa jumlah keseluruhan yang sudah menerima dos pertama kepada 4.97 juta.

Para menteri telah merayu kepada orang ramai supaya jangan keluar rumah seberapa boleh bagi mengelak hospital daripada terlalu sesak dan menaikkan denda bagi mereka yang melanggar peraturan.

Dr Vin Diwakar, pengarah perubatan serantau bagi London, menyamakan keadaan melanggar peraturan itu dengan sesiapa yang membuka lampu semasa berlakunya terputus bekalan elektrik di zaman Perang Dunia Kedua.

"Ia bukan hanya meletakkan rumah anda dalam risiko, ia meletakkan seluruh masyarakat dan kawasan kejiranan anda dalam risiko," jelas beliau.

Dalam pada tu, penasihat saintifik utama kerajaan menyifatkan beberapa hospital ibarat berada dalam zon perang.

Encik Joe Harrison, ketua eksekutif Milton Keynes University Hospital NHS Foundation Trust, berkata hospital itu telah menyaksikan jumlah pesakit yang lebih dua kali ganda pada gelombang kedua berbanding gelombang pertama dan kini mempunyai 186 pesakit yang dijangkiti Covid-19. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg