MAKKAH - Masjidil Haram telah beroperasi dengan kapasiti penuh pada Ahad (17 Oktober) dengan para jemaah bersolat dan merapatkan saf buat kali pertama sejak berlakunya pandemik Covid-19.

Para pekerja menghilangkan tanda-tanda di lantai yang memandu orang ramai supaya melaksanakan jarak sosial di sekitar Masjidil Haram.

"Ini adalah sejajar dengan keputusan untuk melonggarkan langkah pencegahan dan membenarkan jemaah serta pengunjung ke Masjidil Haram dengan kapasiti penuh," lapor agensi berita rasmi, Saudi Press Agency (SPA).

Gambar dan rakaman pada pagi Ahad menunjukkan para jemaah bersolat bahu ke bahu, dengan merapatkan saf buat pertama kali sejak pandemik menimpa pada tahun lalu.

Walaupun langkah jarak sosial ditarik balik, pihak berkuasa berkata pelawat harus divaksin sepenuhnya dan mesti terus memakai pelitup di kawasan perkarangan masjid itu.

Selain itu, Kaabah terus dihadang dan tidak boleh diakses.