MADRID: Seorang matador Sepanyol menjadi korban pertama dalam gelanggang dalam tempoh tiga dekad selepas dirodok lembu di hadapan penonton yang ketakutan ketika persembahan di timur bandar Teruel.
Encik Victor Barrio, 29 tahun, meninggal dunia kelmarin akibat kecederaan di bahagian dada selepas dirodok tanduk lembu seberat 500 kilogram dan dilambung ke udara.
Beberapa matador bergegas cuba menyelamatkannya membantu mengalihkan perhatian lembu itu dan menghalau haiwan berkenaan ketika Barrio terbaring dengan berlumuran darah.
Penganjur berkata bahawa Encik Barrio, yang membuat kemunculan sulung pada 2008 dan beraksi hampir kesemua gelanggang negara itu, diumumkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Media Sepanyol melaporkan kematian Encik Barrio adalah yang pertama di kalangan matador sejak 1985.
Kali terakhir kejadian serupa itu berlaku ialah pada 1985 apabila matador berusia 21 tahun, Encik Jose 'El Yiyo' Cubero, dirodok tanduk lembu menembusi jantungnya.
Akhbar El Pais menyatakan sepanjang kurun lalu seramai 134 orang terbunuh dalam persembahan tradisional Sepanyol itu, termasuk 33 matador. - AFP.