ZAMBOANGA CITY (Filipina): Anggota tentera dari unit risikan telah menemui sekujur mayat reput tanpa kepala dipercayai milik mendiang warga Malaysia, Bernard Then Ted Fen, menurut pegawai keselamatan Filipina.
Akhbar The Philippine Star di laman taliannya, philstar.com, hari ini melaporkan, Ketua Kumpulan Kerjasama Sulu, Kolonel Alan Arrojado, berkata, askar dari Unit Perkhidmatan Risikan ke-9 dan Batalion Infantri ke-501 telah menemui mayat itu kira-kira 10 malam (bersamaan waktu Singapura) semalam di kampung Barangay Lanao Dakula, di pekan Parang.
Menurut Kolonel Arrojado, pencarian yang menghasilkan penemuan itu adalah berdasarkan petunjuk yang dikongsi pemberi maklumat tentang kedudukan di mana kumpulan Abu Sayyaf berkemungkinan menguburkan mayat tanpa kepala milik mendiang Bernard itu.
Menurut beliau, mayat itu telah dibawa ke Hospital Kuta Heneral Teodulfo Bautista di Barangay Bus-bus bagi pemeriksaan dan proses selanjutnya.
Mendiang Bernard telah diculik bersama-sama seorang lagi warga Malaysia, Cik Thien Nyuk Fun, seorang pengurus restoran pada 14 Mei lalu di Sandakan, Sabah, dan dibawa ke Sulu.
Mendiang yang berusia 39 tahun dan berasal dari Sarawak merupakan konsultan elektrikal yang bekerja di Kemboja.
Kumpulan Abu Sayyaf telah membebaskan Fun selepas wang tebusan dipercayai dibayar kepada kumpulan itu pada 8 November lalu tetapi Bernard terus ditahan oleh sekumpulan penculik dibawah pimpinan Alhabsy Misaya dan Idang Susukan.
Pihak berkuasa Filipina menyatakan, kumpulan Misaya dan Susukan telah memenggal kepala Bernard pada 17 November selepas gagal mendapatkan wang tebusan dipercayai bernilai 30 juta peso ($892,460).
Kepala yang dipenggal telah diletakkan dalam sebuah guni dan ditinggalkan beberapa jam kemudian di kawasan Barangay Walled City, Jolo.
Kolonel Arrojado berkata, operasi memburu kumpulan Abu Sayyaf terus dijalankan dan kumpulan itu kini menahan kurang 10 tebusan, termasuk empat warga asing.